Tukang masak nyaris maut ditembak jiran
BESUT - Seorang tukang masak nyaris maut terkena tembakan jiran dalam kejadian di Kampung Darang Buaya, Jertih di sini kelmarin.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, lelaki berusia 34 tahun itu cedera di lutut kiri manakala kucing peliharaan mati terkena serpihan peluru tersebut.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, sebelum kejadian suspek, 31, datang ke rumah mangsa yang terletak hanya 20 meter dari rumahnya sambil memegang selaras senapang patah dalam keadaan tidak berpuas hati.
Katanya, sejurus ternampak mangsa, suspek yang bekerja sebagai jurukimpal dikatakan terus melepaskan satu das tembakan sebelum peluru penabur digunakan terkena kaki mangsa dan kucing peliharaannya.
"Akibat itu mangsa rebah sebelum jiran berhampiran datang membantu dan menghantarnya mendapatkan rawatan di Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.
"Suspek yang melarikan diri berjaya ditangkap kira-kira tiga jam selepas kejadian di hadapan sebuah rumah di Kuala Besut di sini.
"Selain itu turut dirampas selaras senapang patah, 43 biji peluru, 12 bore dan kelongsong yang dimiliki bapa suspek secara sah.
"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya ketika ditemui hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca kerana perselisihan faham.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!