UEC: Pendirian kerajaan bertepatan perlembagaan negara

Radzuan Ibrahim
Radzuan Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) adalah bertepatan dengan perlembagaan dan Dasar Pendidikan Negara (DPN).

Pemangku Presiden Persatuan Penyair Malaysia (Penyair Malaysia), Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, perkara itu tidak sepatutnya menimbulkan kerisauan terutama dalam kalangan orang Cina yang merupakan rakyat Malaysia.

“Penolakan UEC ini bukanlah isu perkauman, tetapi merupakan isu pendidikan negara yang sudah mantap. Tidak ada negara lain di seluruh dunia yang membenarkan sekolah dan mata pelajaran mengikut kaum,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Pada 2 Januari lalu, beberapa media tempatan yang memetik laporan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily melaporkan Dr. Mahathir mahu perasaan orang Melayu turut dipertimbangkan sebelum UEC diiktiraf.

Portal Malaysiakini yang turut mendapatkan salinan rakaman temu bual Sin Chew Daily dengan Perdana Menteri itu, mendapati Dr. Mahathir sendiri turut menekankan kepentingan penguasaan bahasa Melayu.

Radzuan ketika mengulas mengenai perkara tersebut berkata, sekolah vernakular telah membahagikan pendidikan mengikut kaum dan menimbulkan keadaan yang tidak sihat dalam mewujudkan kesatuan bangsa dan keharmonian rakyat.

Sehubungan itu, Penyair Malaysia mencadangkan agar sekolah satu aliran bagi seluruh negara diperkenalkan supaya semua rakyat mendapat pendidikan yang sama dan semua kaum dapat hidup bersatu padu melalui satu bahasa iaitu bahasa kebangsaan, bahasa Melayu.

“Penyair Malaysia bersatu hati bersama pertubuhan bukan kerajaan yang lain termasuk Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), menyokong sepenuhnya kenyataan Dr Mahathir yang menolak pengiktirafan UEC itu,” tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!