Nafas baharu Honda Dash 125
Gaya penampilan, reka bentuk kini diperbaharui
MANTAP dipertingkatkan, penampilan yang ditawarkan oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd untuk rupa paras motosikal cub Honda Dash 125 serba baharu kali ini terlihat lebih dinamik dan sporty.
Seperti sebelumnya, jentera dua roda yang pernah menerima peningkatan kapasiti enjin dari 110cc ke 125cc itu kini diperbaharui dengan gaya warna dan jalur reka bentuk baharu.
Dari segi luaran, warna dan jalur baharu itu seakan memberi nafas baharu kepada Honda Dash 125 yang menawarkan penampilan lebih versatil. Setiap pilihan warna telah dipilih secara khusus untuk memberikan impak visual yang lebih tinggi kepada jentera roda dua tersebut.
Kombinasi warna metalik yang diserlahkan oleh panel berwarna perak menjadikan kenampakan keseluruhan jentera dua roda tersebut lebih ekspresif dan sesuai bagi penunggang yang gemar dengan jentera tampak berbeza.
Pilihan warna baharu itu juga dikatakan lebih menepati cita rasa kebanyakan penunggang motosikal.
Model yang diperkenalkan ke pasaran tempatan sejak lapan tahun lalu itu juga menawarkan tunggangan lebih berprestasi dan selesa dengan rekaan bergaya.
Untuk 2019, dikhabarkan Boon Siew Honda akan lebih agresif dalam strateginya untuk meningkatkan jenamanya di Malaysia.
Bagi mencapai sasaran menjadi jenama terkemuka di Malaysia, syarikat berkenaan akan menumpukan kepada peningkatan jenama, memperbaiki rangkaian pengedar, meningkatkan perkhidmatan selepas jualan, mengembangkan keselamatan menunggang selain membangunkan pelumba tempatan dan sukan permotoran.
Serba menyerlah
Mengimbas fitur luarannya, Honda Dash 125 serba baharu itu nampaknya dilengkapi lampu hadapan diod pemancar cahaya (LED) untuk lebih terang terutama ketika perjalanan di kala gelap.
Pelindung kaki tampak grafik garang dan menyerlah, selain jalur rim roda bergaya dengan berwarna terang.
Ia juga hadir dengan cermin sisi rekaan yang seiring dengan motosikal dan meter serba baharu. Paparan asas kelajuan, odometer, tahap bahan api dan kedudukan gear dan lampu isyarat membelok, antara tersedia.
Suspensi hadapan teleskopik dan belakang berkembar, brek cakera hidraulik hadapan dan belakang atau mekanikal dram (varian S) dengan penghidup elektrik dan tendang serta transmisi kotak gear empat kelajuan klac automatik basah adalah ciri terkini Dash 125.
Prestasi optimum
Meneliti pada bahagian ruang enjinnya, Honda Dash 125 dikuasakan oleh enjin 125cc yang telah diperhalusi bagi menjamin prestasi optimum sambil mengekalkan penjimatan minyak yang efisien.
Sementara kuasa enjinnya pula mampu menjana 9.9 kuasa kuda (hp) pada kelajuan 8,000rpm dan 9.54 meter Newton (Nm ) pada 6,500rpm.
Honda Dash 125 ditawarkan dengan dua warna iaitu Clipper Yellow (kuning) dan Candy Scintillate Red (merah). Warna Pearl Nightfall Blue (biru) akan tetap ditawarkan bagi model baharu itu termasuk edisi Repsol sedia ada bagi varian dengan brek cakera berkembar.
Ciri keselamatan ditawarkan termasuk lampu LED dengan visor bagi meningkatkan lagi tahap penglihatan dan ketahanan. Kedua-dua varian dengan brek cakera tunggal dan brek cakera berkembar akan ditawarkan bagi model baharu ini.
Honda Dash 125 kekal menjadi pilihan utama pembeli yang mencari ciri praktikal, namun dengan harga mampu milik.
Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.boonsiewhonda.com.my atau hubungi Boon Siew Honda di talian tol percuma 1800-88-3993.
Varian dan harga adalah seperti berikut:
Dash 125 (Brek cakera tunggal) RM5,999
Dash 125 (Brek cakera berkembar) RM6,299
Dash 125 edisi Repsol (Brek cakera berkembar) RM6,499
Dash 125 baharu hadir bersama jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000km (mana-mana tiba dahulu).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!