MBIP bertindak selepas terima aduan

Adib Azhari
Adib Azhari
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengambil tindakan sewajarnya sejak bulan Disember 2018 berhubung isu binaan rumah ibadah tanpa kebenaran di rumah pangsa kos rendah, Taman Ungku Tun Aminah, di sini, yang tular di media sosial.

Datuk Bandarnya, Datuk Adib Azhari Daud berkata, aduan berhubung perkara itu diterima menerusi aplikasi WhatsApp daripada orang awam pada 23 Disember lalu.

Menurutnya, jabatan bangunan menerima memo daripada Pesuruhjaya Bangunan (COB) MBIP untuk mengambil tindakan terhadap pemilik kediaman yang membina kuil terbabit pada keesokan harinya.

“Jabatan bangunan terima memo daripada COB, untuk MBIP ambil tindakan terhadap pemilik kediaman yang telah membina sebuah kuil di atas tanah hak milik strata di perumahan berkenaan hingga menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk.

“Lawatan telah dijalankan pada hari sama dan jabatan telah mengeluarkan notis roboh Seksyen 72 Akta 133 iaitu meruntuhkan binaan tanpa kelulusan berserta arahan berhenti kerja serta merta,” katanya kepada Sinar Harian.

Adib Azhari berkata, penutupan tapak binaan juga telah dilakukan pada hari yang sama.

Katanya, pada 30 Disember lalu, jabatan bangunan membuat lawatan tapak susulan dan mendapati adanya longgokan bahan binaan di tapak aduan selain pemilik ingkar patuh arahan notis dikeluarkan sebelum ini.

“Satu kompaun Undang-Undang Kecil 6 telah dikeluarkan untuk mencegah kekotoran dan penutupan pembinaan kuil tersebut untuk kali kedua telah dikeluarkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jabatan bangunan bersama pegawai COB dan polis juga telah ke lokasi tersebut semalam dan mendapati pita kuning yang dipasang tidak dibuka malah tiada apa-apa pembinaan dijalankan seperti dilaporkan.

“Jabatan telah keluarkan satu lagi notis serahan tangan di bawah Seksyen 82 Akta 171 iaitu kacau ganggu dihapuskan dalam tempoh lima hari kepada pemilik binaan kuil.

“Perbincangan dilakukan dan pemilik binaan kuil bersetuju akan meruntuhkan sendiri binaan tersebut selepas tamat notis iaitu sebelum 13 Januari ini,” katanya.

Adib Azhari berkata, MBIP akan mengambil tindakan selanjutnya jika pemilik binaan masih gagal patuh tempoh notis dikeluarkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!