Pemain-pemain Garuda harap doa, sokongan penyokong Indonesia
DOA dan sokongan penyokong Garuda ditagih pemain-pemain Indonesia dalam misi melakar kemenangan pertama pada aksi Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Tonggak pertahanan Indonesia, Yanto Basna berkata, misi melakar kemenangan menjadi keutamaan skuad kendalian pengendali sementara Yeyen Tumena yang dilantik Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menggantikan jurulatih, Simon McMenemy oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), baru-baru ini.
"Semua strategi dan taktikal bagi berdepan Malaysia sudah diajar jurulatih kepada kami yang pastinya akan kami berusaha keras untuk terjemahkan dalam bentuk kemenangan.
"Jadi kami sebagai pemain-pemain pada ketika ini amat mengharapkan doa dan sokongan daripada seluruh rakyat Indonesia baik yang hadir ke stadium mahupun yang menyokong di rumah," katanya.
Untuk rekod skuad Garuda memulakan kempen kelayakan pusingan kedua dengan empat kekalahan apabila tewas 2-3 kepada Malaysia, Thailand (0-3), Emiriah Arab Bersatu (UAE) (0-5) dan Vietnam (3-1).
Pada masa sama pemain berusia 24 tahun itu berkata, keadaan cuaca di negara ini adalah antara cabaran utama yang perlu dihadapi pemain-pemain pasukan berkenaan.
"Pada ketika ini musim hujan di Malaysia, jadi kami kena bersiap sedia beraksi dalam keadaan padang basah.
"Kami sudah datang ke negara ini sejak seminggu lalu bagi melakukan persiapan rapi untuk perlawanan ini.
"Untuk itu, kami lebih berkeyakinan seterusnya bertekad berjuang berhabis-habisan untuk memenangi perlawanan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!