Tiada kes berpolitik dalam masjid didakwa di mahkamah

Asmuni menjawab soalan lisan berkaitan isu larangan berpolitik di dalam masjid ketika sesi soalan lisan Sidang DUN Perak hari ini.
Asmuni menjawab soalan lisan berkaitan isu larangan berpolitik di dalam masjid ketika sesi soalan lisan Sidang DUN Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Tiada sebarang pendakwaan dibuat di mahkamah berhubung tindakan berpolitik di dalam masjid di negeri ini sejak tahun 2000.

Exco Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, bagaimanapun tindakan penggantungan dilakukan ke atas pegawai masjid atau surau yang terlibat membenarkan masjid mahupun surau dijadikan lokasi program politik.

Menurutnya, berdasarkan Peraturan-Peraturan Jawatankuasa Kariah Negeri Perak 2015, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) atau Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) boleh memberikan apa-apa arahan termasuk memantau dan menyiasat aktiviti jawatankuasa kariah dan mengeluarkan sebarang garis panduan terhadap masjid.

"Sehubungan dengan itu, Pengarah JAIPk ada mengeluarkan peringatan untuk masjid-masjid melalui surat bertarikh 25 Oktober 2018 berkaitan Peraturan Pengajaran dan Pengajian Agama di Masjid dan surat bertarikh 2 Meni 2019 iaitu Larangan Berceramah atau Melakukan Aktiviti Berbaur Politik

"JAIPk sentiasa peka dengan isu berkaitan politik di masjid. Ini kerana setiap masjid di dalam Perak adalah di bawah bidang kuasa MAIPk dan diuruskan oleh JAIPk," katanya ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd Akmal Kamaruddin pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Asmuni berkata, rasional larangan berpolitik di masjid itu dibuat kerana ia merupakan rumah ALLAH yang menjadi pusat ibadah serta penyatuan ummah dan perlu bebas daripada sebarang politik kepartian.

Beliau berkata, sebarang aktiviti masjid seperti tazkirah, ceramah dan sebagainya tidak seharusnya mencetuskan perkara berkaitan politik yang boleh memecahbelahkan jemaah sekaligus menjadikan masjid sebagai pentas politik.

Asmuni turut menasihatkan agar semua pihak akur dan menghormati titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar tidak menjadikan institusi masjid dan surau sebagai medan untuk berpolitik tetapi sebaliknya menjadikannya sebagai pusat ilmu, tempat melakukan ibadat dan menyatupadukan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau meminta semua guru-guru takmir yang diberikan tauliah supaya mengajar mengikut silibus yang disediakan oleh JAIPK.

Katanya, sebarang perbincangan terhadap sebarang topik perlu dibuat dalam skop keilmuan bukan menjurus kepada politik kepartian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!