Macau Scam: Kerugian lebih RM1.9 juta di Tawau
TAWAU - Polis Tawau membuka 18 kertas siasatan membabitkan kerugian lebih RM1.9 juta dalam sindiket penipuan Macau Scam bagi tempoh Januari sehingga Oktober tahun ini.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, bagi tempoh sama, polis turut menerima 83 aduan berkaitan sindiket itu tetapi tidak disiasat ekoran tidak membabitkan kerugian selain pengadu tidak mahu siasatan polis.
Beliau mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan melalui panggilan telefon dengan kejadian terbaharu pada Jumaat lepas apabila seorang wartawan di daerah ini nyaris diperdaya sindiket yang menyamar sebagai kakitangan Telekom Malaysia (TM) dan polis.
Katanya, penyamar turut meminta data peribadi termasuk bank selain meminta mangsa tidak mendedahkan perkara itu kepada sesiapa kerana sulit dan mangsa kemudian membuat laporan polis ekoran khuatir data peribadi disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Mereka (sindiket) ini cuba memperdayakan mangsa dengan pelbagai versi cerita membabitkan pelbagai kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas program Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini hari ini.
Pada program itu, 46 anggota polis menerima surat penghargaan atas komitmen kerja yang baik. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!