'Lembaga Disiplin UMNO akan siasat, ambil tindakan segera'
SHAH ALAM - Lembaga Disiplin UMNO akan menyiasat dan mengambil tindakan segera berhubung aduan pertemuan beberapa Ahli Parlimen UMNO di kediaman rasmi Menteri Hal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Presint 10, Putrajaya malam tadi.
Pengerusinya, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, beliau difahamkan akan menerima beberapa aduan berhubung pertemuan Ahli -Ahli Parlimen UMNO itu ke rumah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Lembaga Disiplin akan segera mengambil tindakan dengan menyiasat perkara itu mengikut prosedur sedia ada dan membuat keputusan sewajarnya.
"Perlu ditegaskan Lembaga Disiplin parti diberi amanah dan tanggungjawab oleh parti dengan kuasa-kuasa tertentu di bawah Perlembagaan UMNO dan akan menjalankan tanggungjawabnya secara tegas, jujur dan saksama 'without fear or favour'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Mohamed Azmin jumpa Ahli Parlimen PH, BN di Putrajaya malam ini
'Sekali lagi Hishammuddin khianati rakyat'
Malam tadi, Mohamed Azmin dikatakan mengadakan pertemuan dengan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di kediaman rasminya.
Dipercayai kesemua mereka berada di rumah tersebut sejak jam 7 petang dan kelihatan meninggalkan kediaman Timbalan Presiden PKR itu pada jam 11 malam.
ARTIKEL BERKAITAN: Hishammuddin nafi rancang pertemuan
PKR minta penjelasan Azmin pada mesyuarat Biro Politik esok
Terdahulu kecoh satu mesej bertebaran menerusi aplikasi WhatsApp mengenai pertemuan melibatkan Mohamed Azmin dengan beberapa Ahli Parlimen PH dan BN.
Mesej yang tersebar itu turut mendakwa berlaku pertemuan antara Mohamed Azmin dengan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menurut mesej tersebut pertemuan itu didakwa diadakan bagi mendapatkan sokongan Ahli Parlimen terbabit untuk menggagalkan peralihan kuasa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!