'PH perlu perubahan drastik jika mahu bertahan lebih sepenggal'
KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) perlu melakukan perubahan drastik sekiranya berhasrat untuk kekal lebih daripada sepenggal, kata Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengakui terkejut dengan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Sabtu lepas, Muhyiddin berpendapat perubahan perlu dilakukan kepada banyak bahagian.
“Apa pun yang penting selepas PRK kita dapat keputusan, kita tahu ini perlu diambil perhatian yang berat kalau PH mahu bertahan untuk lebih sepenggal, perubahan drastik perlu dilakukan.
“Banyak bahagian perlu dilakukan, polisi, pelaksanaan, polisi kewangan, polisi fiskal, kepimpinan dan banyak lagi perkara lain perlu dilihat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Muhyiddin berkata, PH juga sedang menganalisa kekalahan besar di Tanjung Piai dan mencari punca kepada kekalahan tersebut.
“Kita sedang menganalisa sama ada ia berkaitan dengan soal keberkesanan jentera, strategi yang kita susun atau ia memberi gambaran lebih besar berkaitan soal dasar PH, masalah kepimpinan dan lain lain.
“Ini sedang kita teliti. Esok ada mesyuarat di peringkat Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) sebelum 23 November, kalau tak silap mesyuarat Majlis Presiden PH, saya akan bentang laporan,” katanya.
ARTIKEL BEKAITAN: BN rampas semula Parlimen Tanjung Piai
Sabtu lepas, Datuk Seri Wee Jeck Seng kembali merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan keputusan cemerlang dalam PRK Parlimen Tanjung Piai.
Kemenangan itu menyaksikan Jeck Seng berjaya mengetepikan persaingan daripada lima calon lain selepas dua minggu tempoh berkempen dengan kelebihan majoriti sebanyak 15,086.
Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu berjaya memperoleh undi 25,466 mengatasi Karmaine Sardini (PH) yang memperolehi 10,380 undi, Wendy Subramaniam (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) 1,707 undi dan Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia) 850 undi.
Manakala, dua lagi calon bebas, Dr Ang Chuan Lok dan Faridah Aryani Abdul Ghafar pula masing-masingnya memperoleh 380 undi dan 32 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!