Pemandu Toyota Vellfire rentung
SEGAMAT - Seorang lelaki ditemui rentung selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 137.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan II Ibnul Kasim Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.22 pagi.
Menurutnya, seramai lapan anggota bersama satu jentera penyelamat dan satu van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi kejadian bomba mendapati berlaku satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Vellfire yang telah terbakar 90 peratus kerana dipercayai melanggar sebuah lori jenis Nissan.
"Dalam kejadian ini, pemandu kereta jenis Toyota Vellfire yang identiti tidak dikenal pasti telah ditemui, manakala pemandu lori iaitu seorang lelaki berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ibnul berkata, siasatan masih diteruskan untuk mengetahui punca sebenar dan anggaran kerugian.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 6.59 pagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!