Lebih 8 jam terperangkap dalam lubang najis
TAPAH - Pasukan bomba dan penyelamat berjaya mengeluarkan seekor lembu jantan yang terperangkap dalam lubang kumbahan berhampiran sebuah rumah penduduk di Kampung Kinjang Bari di sini hari ini.
Bagaimanapun, 10 anggota bomba berkenaan berdepan detik cemas dan terpaksa menyorok di sebalik pokok- pokok apabila dikejar lembu berkenaan yang panik selepas diselamatkan.
Lembu dianggarkan seberat 200 kilogram (kg) tersebut dipercayai telah terperangkap lebih lapan jam selepas seorang penduduk terdengar bunyi haiwan itu sejak malam semalam.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Mohamad Tarmizi Rasid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang penduduk pada jam 8.21 pagi setelah dia memeriksa punca bunyi pelik di belakang rumahnya.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati terdapat seekor lembu terperangkap dalam lubang sedalam 2.5 meter itu.
“Anggota bertindak menggunakan tali bagi mengeluarkan haiwan itu. Kekuatan anggota dibantu penduduk berjaya membawa keluar lembu terbabit dengan selamat.
“Bagaimanapun, anggota bersama penduduk terpaksa mencari tempat berlindung apabila lembu berkenaan tiba-tiba mengejar orang ramai yang berada di tempat kejadian,” katanya.
Mohamad Tarmizi berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan dan lembu tersebut beredar memasuki kawasan kebun berhampiran.
“Haiwan itu dipercayai dibiarkan berkeliaran sejak semalam sebelum terjatuh ke dalam lubang kumbahan itu.
“Kita juga menasihatkan kepada pemilik rumah untuk menutup lubang berkenaan agar kejadian sama tidak berulang dan ia boleh mengundang risiko terutama kepada kanak-kanak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!