Kerajaan batal lesen jika pemilik ladang sawit gagal dapat sijil MSPO

Teresa - Foto Bernama
Teresa - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pemilik ladang kelapa sawit yang mempunyai tanah seluas 100 ekar (40 hektar) berdepan risiko lesen dibatalkan sekiranya gagal mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) mulai tahun depan, kata Menteri Perindustrian Utama Teresa Kok.

Beliau berkata langkah itu bertujuan membuktikan kesungguhan kerajaan berhubung perlaksanaan persijilan MSPO.

“Setakat Oktober 2019, 328 kilang minyak sawit atau 72.6 peratus daripada keseluruhan 448 kilang minyak sawit telah memperoleh sijil MSPO,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB PIPOC) 2019 di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Teresa berkata setakat Oktober 2019, 60 peratus daripada keseluruhan kawasan penanaman kelapa sawit telah memperoleh sijil MSPO.

“Kerajaan menyasarkan 70 peratus kawasan penanaman kepala sawit memperoleh sijil MSPO menjelang Februari 2020,” katanya.

Mengenai usaha Malaysia supaya Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) campur tangan berhubung dasar diskriminatif Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit, Teresa menegaskan bahawa kertas Kabinet mengenai isu itu telah diedarkan dalam kalangan menteri.

“Kami akan membentangkan dan membincangkan kertas itu pada Mesyuarat Kabinet bulan depan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata industri minyak sawit di Malaysia telah diarahkan untuk mematuhi tahap 3MCPDE (3-Monochloropropane-1, 2-diol ester) 2.5 ppm untuk produk makanan yang ditetapkan oleh EU menjelang 2021.

Artikel Berkaitan:

“Beberapa pusingan rundingan telah dilakukan bersama penggiat industri, dan kami kini dalam proses menguatkuasakan beberapa peraturan bagi memastikan pengeluaran minyak sawit memenuhi tahap keselamatan yang diterima untuk 3MCPDE,” katanya.

Teresa juga berkata pada awal tahun depan, kerajaan akan mencari dana khusus untuk inisiatif hijau, terutama bagi penanaman pokok dan pemuliharaan hidupan liar, dengan bayaran RM1 akan dikumpulkan untuk tujuan itu. - BERNAMA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!