Terpaksa tunggu lebih 4 jam beli tiket ETS

Orang ramai menunggu giliran pembelian tiket ETS di KL Sentral hari ini.
Orang ramai menunggu giliran pembelian tiket ETS di KL Sentral hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai terpaksa menunggu lebih empat untuk membeli tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) di kaunter Keretapi Tanah Melayu di KL Sentral.

Jangka masa menunggu lama bagi pembelian tiket ETS di KL Sentral itu membolehkan seorang pekerja swasta pulang ke pejabatnya di Pandan sebelum kembali semula menunggu giliran kaunter tiga jam kemudian.

Situasi itu menimpa Nizam Abd Karim, 39 yang tenang menunggu giliran nombornya dipanggil di kaunter KTM ETS kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

"Ini pengalaman pertama nak mencuba naik ETS bersama keluarga ke Padang Besar tapi tak sangka begitu susah nak mendapatkan tiket.

"Dari jam 8 pagi sampai dah ke jam 12 tengah hari saya perlu menunggu lebih 100 giliran lagi sebelum nombor saya dipanggil.

" Saya ada juga cuba guna sistem atas talian pula tak berjaya itu sebab ke kaunter hari ini, harap masalah sistem pembelian tiket ini diatasi," katanya.

Seorang kakitangan awam, Faiz Muslim, 34, sanggup datang dari Port Klang untuk membeli tiket ETS buat 15 ahli keluarganya ke Padang Besar, Disember ini.

"Saya tunggu dari jam 8.30 pagi tapi dah tunggu dekat 4 jam belum juga sampai giliran saya. Sampai rasa nak batalkan saja percutian ke sana.

Artikel Berkaitan:

"Tiket pergi dah beli, sekarang mahu beli tiket perjalanan pulang sebab masa itu tiket menghala Kuala Lumpur belum dibuka. Risau juga kalau pergi lepas tapi balik tersangkut di sana sebab masalah tiket ini," katanya.

Orang awam beratur bagi mendapatkan angka giliran pembelian tiket ETS di kaunter KTM di KL Sentral.
Orang awam beratur bagi mendapatkan angka giliran pembelian tiket ETS di kaunter KTM di KL Sentral.

Katanya, dia turut mencuba sistem atas talian semalam namun tidak berjaya menyebabkannya terpaksa ke kaunter untuk urusan pembelian.

"Ada tanda 'error' masa gunakan sistem online mungkin sebab jumlah pelayar dihadkan. Harap pengurusan KTM boleh keluarkan kos sedikit untuk naik taraf sistem ini untuk mudahkan pengguna.

"Sambutan pengguna terhadap ETS menggalakkan namun jika masalah sistem berterusan, saya bimbang ia akan memberikan kesan kepada jumlah pelanggan yang menggunakan kemudahan itu.

"Selain itu, saya cadangkan supaya kaunter khas disediakan untuk warga emas, OKU serta pelanggan yang memilih kelas bisnes. Banyak warga emas perlu menunggu lama di sini menampakkan perkhidmatan KTM seperti tak mesra pengguna," katanya.

Aktivis, Jude Sta Maria, 64 yang menjadikan ETS sebagai pengangkutan utama ke utara turut mengakui berdepan masalah dalam urusan pembelian tiket.

"Setiap Jumaat hingga Ahad saya akan ke Butterworth untuk kerja sosial mengajar Bahasa Inggeris dan sukan bola sepak di sana jadi saya akan gunakan ETS jika tidak memandu.

"Saya suka ETS kerana cepat dan selesa tapi nak beli tiket yang masalah kerana perlu menunggu lama. Tak semua pandai guna sistem online dan kebanyakannya akan ke kaunter jika ada pertanyaan atau urusan lain, jadi saya harap kelemahan ini dapat dibaiki," katanya.

Sementara itu tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati terdapat beberapa pengguna sedang berbaris bagi mendapatkan nombor giliran sementara puluhan yang lain sedang menunggu giliran untuk urusan pembelian di kaunter.

Rata-rata pengguna yang ditemui menyuarakan keluhan dengan situasi tersebut kerana perlu menunggu lama selain kemudahan sistem atas talian yang disediakan sebagai alternatif pembelian bermasalah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!