Kedah sasar lebih 5 juta pelancong: Exco
ALOR SETAR - Kedah menyasarkan kemasukan kira-kira 5 juta pelancong mengunjungi negeri itu sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Exco Pelancongan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya optimis sasaran berkenaan berupaya dicapai melalui promosi dan persiapan dilakukan.
Menurutnya, antaranya papan iklan memaparkan tempat-tempat menarik di negeri ini akan diletakkan di beberapa lokasi seperti lapangan terbang dan stesen bas demi mempromosikan keunikan dimiliki di Kedah.
"Kita mensasarkan kehadiran seramai 4 juta pengunjung di Langkawi berbanding 3.5 juta tahun lepas manakala di tanah besar Kedah disasarkan sekitar 1.5 juta orang.
"Selain Langkawi, Kedah memiliki banyak tempat menarik termasuklah di Alor Setar sendiri, seperti Masjid Zahir, Balai Nobat dan Galeri Sultan Abdul Halim," katanya pada Majlis Perasmian Hotel Darulaman Alor Setar di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan perbandingan dilakukan Kedah kaya dengan keindahan warisan, sejarah dan alam semula jadi yang tidak kalah dari tempat lain di luar negara.
Bagaimanapun katanya, pihaknya berharap semua pihak memainkan peranan lebih agresif dalam mempromosikan keunikan dan keindahan yang ada di Kedah.
Menurutnya, pihaknya berharap pemain industri seperti pemilik hotel turut memperbanyakkan aktiviti demi menarik kemasukan pelancong ke negeri itu.
"Misalnya, saya melihat ada hotel bekerjasama dengan pihak tertentu di Langkawi mengambil inisiatif menganjurkan aktiviti kesukanan peringkat antarabangsa, yang mana menarik ramai orang," katanya.
Menurutnya, pemain industri lain juga disarankan mengadakan pelbagai aktiviti melibatkan pelancongan sukan memandangkan ia memiliki peminat tersendiri.
Hotel Darulaman Alor Setar terletak di pusat bandar Alor Setar merupakan hotel bajet miliki Koperasi Guru-guru Melayu Berhad (KGGMKB).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!