Azis nafi laporan polis boleh periksa telefon orang awam
SHAH ALAM - Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman menafikan laporan bahawa polis boleh memeriksa telefon orang awam dengan sewenang-wenangnya.
Beliau berkata, laporan media telah tersalah memetik kenyataannya di Dewan Rakyat semalam dengan meletakkan tajuk yang mengelirukan.
Tambahnya, ia seterusnya membawa kepada kekeliruan orang awam kerana segelintir masyarakat terus membuat andaian dengan hanya membaca tajuk sesebuah artikel tanpa membaca secara keseluruhan.
"Saya berkata, pemeriksaan telefon terhadap orang awam boleh dibuat sekiranya terdapat laporan polis mengesyaki ia digunakan bagi menyebarkan perkara tidak betul dan bukannya pemeriksaan dibuat secara sewenang-wenangnya.
"Ia berdasarkan kepada seksyen 233 akta komunikasi dan multimedia 1998 dan akta 588 bagi memeriksa telefon bimbit seseorang semasa menjalankan siasatan dan semasa menjalankan tugas menjaga ketenteraman awam.
"Saya maksudkan polis juga boleh mengambil tindakan berdasarkan peruntukan seksyen 103, 104 dan 106 kanun tatacara jenayah akta 593," katanya.
Azis berkata demikian sebagai menjawab bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan yang berkata, polis tidak boleh sewenang-wenangnya memeriksa telefon bimbit orang awam.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis tiada hak periksa telefon bimbit orang awam: Musa Hassan
Musa yang dipetik sebuah portal berita hari ini berkata, pihak polis hanya boleh memeriksa telefon orang awam jika permintaan itu dikaitkan dengan siasatan.
"Harus ada laporan polis yang dibuat terhadap seseorang, dan mereka menyiasat orang itu, atau polis mengesyaki seseorang terlibat dalam jenayah dan sedang menyiasatnya," kata Musa seperti dilapor portal berita tersebut.
Dalam pada itu Azis berkata, apa yang diperkatakan bekas KPN itu adalah benar.
Jelas Azis lagi, kenyataan Musa adalah selari dengan apa yang disebut olehnya ketika sesi di Dewan Rakyat semalam namun tajuk artikel berkenaan tidak tepat dan mengelirukan.
Sementara itu Azis berkata, pemeriksaan telefon orang awam boleh dibuat jika terdapat laporan mengaitkan dengan penyebaran berita palsu, jelik, perkara yang boleh menggugat keharmonian negara serta kandungan lucah.
Dalam pada itu Azis menasihati pengamal media agar lebih teliti supaya laporan dikeluarkan tidak menimbulkan kekeliruan pada masyarakat.
"Saya nasihatkan media agar lebih berhati-hati supaya ia tidak memberi gambaran yang salah kepada masyarakat.
"Apa pun saya menghargai tugas dan peranan media dalam membantu menyalurkan maklumat kepada orang awam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!