Keluarga migran Vietnam buat pinjaman untuk bawa pulang mayat
HANOI - Beberapa keluarga mangsa 39 migran Vietnam yang ditemui maut dalam sebuah kontena sejuk beku di Britain bulan lalu terpaksa membuat pinjaman kerajaan bagi membawa pulang mayat ahli keluarga masing-masing.
Kementerian Luar Vietnam berkata, pihaknya akan membantu membawa pulang sama ada abu atau mayat mangsa namun keluarga mangsa harus menanggung kos terbabit.
Menurut dokumen rasmi yang dilihat AFP, kos membawa pulang abu di dalam balang ialah AS$1,774 (RM7,375) sementara bayaran membawa pulang mayat ialah AS$2,858 (RM11,882).
Keluarga mangsa berkata, mereka mahu membawa pulang mayat ahli keluarga secepat mungkin setelah hampir empat minggu tragedi berlaku.
"Kami mahu membawa mayatnya pulang dengan segera, kami akan membayar berapa sahaja meskipun saya terpaksa menjual rumah atau tanah," kata Le Minh Tuan, yang kematian anak lelakinya Le Van Ha, 30, dalam insiden terbabit.
Majoriti mangsa berasal dari wilayah miskin Ha Tinh dan Nghe, tengah Vietnam, di mana sumber pendapatan utama datang dari aktiviti perikanan, peladangan dan perkilangan.
Kebanyakan keluarga membuat pinjaman demi menghantar anak mereka ke Britain dengan harapan mendapatkan pekerjaan dan menghantar wang kepada keluarga sekali gus membayar kembali pinjaman. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!