8,000 kekosongan jawatan PDRM perlu diisi
TAPAH - Kira-kira 8,000 perjawatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka diisi dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi susulan anggota yang bersara awal dan wajib setiap tahun.
Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, bagi tahun hadapan, dianggarkan 6,000 orang pengambilan akan dibuat termasuk 500 pegawai.
Beliau berkata, setakat ini jumlah keseluruhan pegawai dan anggota PDRM adalah kira-kira 128,000 orang namun ia tidak mencukupi.
Menurutnya, kerajaan diharap mempertimbangkan permohonan PDRM untuk penambahan perjawatan bagi memenuhi keperluan semasa dan tugas khas.
"Dasar kerajaan tidak boleh menambah kakitangan awam tetapi atas keperluan semasa dan tugas, kita memohon kerajaan membuat pengecualian.
"Bukan sahaja untuk menambah keanggotaan pasukan VAT69 Komando dan Unit Tindakan Khas (UTK) malah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) serta cawangan lain," katanya selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Untuk Pesara Polis, Pegawai Kanan dan Pegawai Rendah Polis Yang Sedang Berkhidmat Siri 3/2019 di Dewan Merdeka di sini hari ini.
Pada majlis itu, 300 pesara dan 150 anggota serta pegawai yang masih berkhidmat menerima pingat berkenaan.
Pada September lalu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memohon kerajaan memberi pertimbangan khas untuk menambah keanggotaan pasukan VAT69 Komando dan Unit Tindakan Khas (UTK) kerana penugasan mereka semakin diperlukan untuk menghadapi ancaman, khususnya di pantai Timur Sabah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!