MBSA naik taraf perparitan di Sri Muda elak banjir
SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengadakan kerja-kerja menaiktaraf sistem perparitan di kawasan Sri Muda secara berperingkat.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kerja penaiktarafan ini dijalankan melibatkan projek menaiktaraf longkang-longkang yang rosak.
"Pada tahun ini, MBSA telah menaiktaraf longkang besar di tepi jalan utama bagi memudahkan aliran air hujan masuk ke dalam longkang. MBSA akan terus melakukan kerja-kerja penambahbaikan untuk mengatasi masalah banjir di kawasan ini," katanya.
Katanya, MBSA turut menasihatkan penduduk khususnya di kawasan Sri Muda supaya tidak membuang sampah di dalam longkang.
"Masa sama penduduk dinasihatkan agar tidak membuat tambahan binaan di premis yang menutup sepenuh longkang-longkang. Ini kerana ini tindakan ini menyukarkan kerja pembersihan longkang dan sekaligus boleh menyekat aliran air," katanya.
Jelasnya, kerjasama penduduk amat diharapkan bagi bersama membantu MBSA untuk menangani isu ini.
Terdahulu, penduduk di Sri Muda mengeluh berikutan terpaksa menghadapi banjir kilat sejak kebelakangan ini.
Dakwa penduduk perkara ini hampir 20 tahun tidak berlaku selepas banjir besar sekitar tahun 1995 dan 1996.
Namun sejak akhir-akhir ini, hujan dalam tempoh yang singkat saja sudah memadai untuk kawasan ini dilanda banjir kilat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!