Pemangkin Muafakat Nasional
KEJAYAAN Barisan Nasional (BN) merampas kerusi Parlimen P.165 Tanjung Piai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 16 November lalu wajar dijadikan titik permulaan kepada perubahan landskap politik negara untuk rakyat kembali menyokong BN dan Muafakat Nasional.
Namun, kemenangan itu harus ditangani dengan berhati-hati dan cermat. Isyarat yang diberikan rakyat tidak seharusnya ditafsirkan sebagai satu keselesaan menyeluruh kepada BN. Namun yang pasti, BN dan Muafakat Nasional kini memperoleh momentum sokongan dan semangat yang tinggi.
Kita tidak mahu jadi seperti pepatah 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran". Oleh kerana terlalu mahukan mengalahkan Pakatan Harapan (PH), maka ramai pihak mula lalai, bongkak dan alpa dengan tanggungjawab serta lupa dengan pengajaran Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Oleh yang demikian, Pemuda BN dan rakan Muafakat Nasional, Pas akan kembali duduk semeja, menilai prestasi di Tanjung Piai dari segenap aspek dan mengenalpasti faktor yang membawa kepada kemenangan bergaya Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
Setiap gerak kerja perlu dinilai, reaksi pengundi dicatat dan pandangan pakar dicanai bersama sebagai rujukan bagi menghadapi cabaran PRK mendatang dan PRU15 nanti.
Siapa menyangka BN mampu mencatatkan majoriti melebihi 15,000 undi. Jumlah majoriti sebegitu besar adalah bukti bahawa pentadbiran kerajaan PH gagal mengemudi negara. Biarlah dibawa seluruh kekuatan kerajaan Pusat dengan bantuan sehingga mencecah puluhan juta sekali pun, suara rakyat tetap keramat.
Sudah pasti, pada saat dan ketika ini, ramai mengeluarkan pendapat dan analisis mengenai keputusan PRK Parlimen Tanjung Piai. Tidak kurang juga mereka yang mula berspekulasi akan tindakan seterusnya oleh PH. Itu adalah kebebasan masing-masing dan sedikit sebanyak perkongsian mereka sama ada di media sosial atau wacana awam boleh mencaknakan masyarakat terbanyak.
Pemuda BN khususnya Pemuda UMNO sudah pasti akan bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan. Tunjang untuk menghadapinya adalah hala tuju politik yang jelas, jati diri yang kukuh dan pendekatan politik yang akan meresapi roh perjuangan, di samping kesungguhan menolak rasuah, mengangkat tadbir urus yang baik serta progresif serta digandingkan dengan perancangan rapi serta gerak kerja tersusun.
Justeru, naratif sebenar BN dan Muafakat Nasional adalah untuk mengembalikan Malaysia kepada acuan asal kenegaraan seperti yang dilakarkan sejak 1957 dan 1963. Satu acuan negara yang membolehkan semua rakyat hidup bersama dan harmoni bercirikan keindukan bangsa Melayu dan kesetiakawanan bangsa Cina, India dan bumiputera Sabah serta Sarawak yang sebenarnya terbukti aman dan berjaya selama 60 tahun lamanya.
Kejayaan PRK Parlimen Tanjung Piai juga adalah kerana keutuhan acuan tulen BN dan agenda Muafakat Nasional itu dapat diterjemahkan dengan kesepakatan tindakan semua komponen parti. Kejayaan itu pastinya juga mengembalikan nostalgia sejarah bagaimana hubungan kaum di negara ini mula dibentuk dengan satu acuan tulen bersama Perikatan dan BN.
Ironinya semua parti yang ada sekarang adalah alumni kepada Perikatan dan pernah bersama BN melakar sejarah kejayaan kemerdekaan, pembentukan Malaysia dan mencipta pelbagai dasar kejayaan untuk semua.
Gerak kerja kempen kali ini juga adalah yang terbaik bagi menunjukkan intipati BN dan Muafakat Nasional dan bayangan serta cerminan kepada Malaysia yang aman, makmur dan harmoni.
Biarlah ada yang mengkritik semua itu adalah wayang dan mereka mula bermain sentimen perkauman, membuat andaian dan fitnah serta menyemai kebencian. Walau apa pun hujah mereka, Pentas 4 Ketua Pemuda tempoh hari menjadi contoh klasik kepada gelora semangat dan legasi politik negarawan Tun Razak, Tan Siew Sin, VT Sambathan dan Asri Muda.
*Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!