Pemandu mabuk perlu dikenakan hukuman mandatori
SHAH ALAM - Seorang pelayar Twitter menggerakkan solidariti buat mangsa kemalangan maut yang dilanggar pemandu mabuk.
Menerusi perkongsian Anuar Nazir, pesalah didakwa tidak sepatutnya diberi peluang kedua malah perlu dikenakan hukuman mati mandatori.
Secara peribadi, dia tiada larangan minum arak buat orang ramai bukan beragama Islam.
"Tetapi tolongla, pandai-pandailah bawa rakan untuk bantu ketika mabuk. 'Dont drink dan drive', itu kata-kata paling mudah yang boleh difahami," ciapnya.
Dalam pada itu perkongsian itu mendapat sokongan dari netizen yang bersetuju hukuman berat perlu dikenakan kepada pesalah.
Kata @_dyzul, "Tolong beri perhatian, tidak akan nak tunggu salah seorang ahli keluarga baru nak ambil tindakan."
"Naik Grab, kalau dah tahu nak seronok malam minggu jangan memandu sendiri," ciap @dfairus.
Tambah @_banglaw, "Hisap ganja hukuman mati, minum arak langgar orang, hanya bayar denda, selesai."
Sehingga kini posting ini mencecah 10,300 ulang ciap dan lebih 3,400 tanda suka dan sokongan dari netizen.
Sementara itu, netizen juga meminta warganet untuk menandatangani petisyen dalam talian yang menggesa kerajaan mengharamkan arak di Malaysia.
Petisyen yang dinamakan 'Haramkan Penjualan Arak Seluruh Malaysia!' adalah usaha daripada Mohd Fikri Arof bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya melibatkan pemandu mabuk.
Kenyataan petisyen itu memberitahu, minuman arak diharamkan oleh semua agama di Malaysia.
"Sesuai dengan pengharaman semua agama berkenaan dengan arak, maka kerajaan Malaysia tidak wajar membenarkan lagi arak dijual di Malaysia. Tiada isteri ingin suami seorang pemabuk. Tiada suami inginkan isteri seorang pemabuk. Tiada anak inginkan ibu bapa mereka pemabuk. Arak juga telah terbukti dari sudut kesihatan memudaratkan kesihatan," tulisnya.
Dalam pada itu, sehingga kini, petisyen tersebut yang digerakkan melalui platform change.org telah mengumpul 16,394 tandatangan warganet.
Sejak akhir-akhir ini, kemalangan maut meningkat dan antara sebabnya sikap pemandu yang mabuk hingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat negara ini.
Drunk drivers DON’T DESERVE second chance. It could be us or our family members. Logik kalau kenakan hukuman mati mandatori. Jangan jadi apologists/enabler. pic.twitter.com/JOMDq4AF3T
— anuarnazir (@anuarnazir) November 18, 2019
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!