Bom tangan lama ditemui di belakang rumah
JERANTUT - Seorang penduduk kampung di Jerantut Feri menemui sebutir bom tangan lama di belakang rumahnya semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, warga emas berusia 61 tahun itu menemui bom berkenaan ketika sedang mengukur tanah bagi pembinaan rumah.
Ketua Polis Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, saksi percaya objek yang ditemui adalah bom lama setelah mengetuk permukaan objek berkenaan.
"Warga emas terbabit terus memaklumkan penemuan terbabit kepada anggota polis di Pondok Polis Jerantut Feri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis dipanggil untuk memusnahkan bom berkenaan.
"Bom itu berjaya dimusnahkan pada jam 3.20 petang selepas mengambil tempoh kira-kira 15 minit.," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!