Tindakan tegas menanti: Menteri

Mohamaddin Ketapi - Foto Bernama
Mohamaddin Ketapi - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha perkhidmatan hotel dan rumah tumpangan yang tidak berlesen dan berdaftar dengan kementerian.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, jika benar wujud premis-premis haram terbabit, pihak berkaitan perlu menyenaraikan nama dan bilangan premis untuk diambil tindakan tegas oleh kementerian dan pihak berkuasa tempatan.

"Jika wujud maka saya akan menggerakkan agensi sedia ada untuk berkerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk tindakan selanjutnya," katanya meneusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media tempatan berkaitan lambakan premis haram, dijalankan oleh pengusaha-pengusaha rakus yang mahu mengambil keuntungan mudah tanpa memikirkan soal keselamatan.

Dalam pada itu, Mohamaddin menjelaskan, pihak kementerian akan mengadakan perbincangan dengan pihak PBT bagi mengambil tindakan terhadap pengusaha yang masih berdegil di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

"Kita akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengenal pasti tindakan wajar yang bakal dikenakan ke atas pengusaha haram ini kerana PBT ada lebih kuasa untuk tindakan undang-undang diambil.

"Apabila kita dapat sahaja senarai itu kita akan laksanakan segera kerana ia melibatkan soal keselamatan orang awam yang mendiami premis terbabit," katanya.

Ujar beliau, orang ramai diminta untuk membuat laporan sekiranya mendapati hotel dan rumah tumpangan yang tidak mempamerkan lesen mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu semua orang selepas ini peka dengan situasi terbaharu ini dan melihat ke papan lesen yang dipampang di setiap premis yang dikunjungi sebelum menginap.

"Saya juga menyarankan agar orang ramai dapat melaporkan segera kepada pihak berkuasa tempatan sekiranya wujud premis haram terbabit di kawasan mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!