Seorang lagi pelatih CCRC masih bebas

Tujuh pelatih Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Sungai Ruan, Raub yang lolos pada 16 November lalu. Gambar kecil: Abd Jalil
Tujuh pelatih Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Sungai Ruan, Raub yang lolos pada 16 November lalu. Gambar kecil: Abd Jalil
A
A
A

KUANTAN - Seorang daripada tujuh pelatih Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Sungai Ruan, Raub yang lolos pada 16 November lalu masih bebas manakala enam lagi berjaya berjaya diberkas semula.

Penahanan semula pelatih itu termasuk dua yang terbaharu kelmarin hasil maklumat awam dan tindakan pantas polis Raub.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, dua tangkapan terbaharu itu dilakukan sekitar Raub sebelum mereka sempat keluar dari daerah itu.

Menurutnya, dua pelatih itu dipercayai menunggu peluang untuk keluar namun atas maklumat diterima mereka berjaya dicekup semula manakala seorang lagi yang masih bebas sedang dikesan.

"Dalam kes ini pihak polis lambat menerima laporan daripada pihak CCRC berkenaan sehingga kesemua pelatih yang meloloskan diri awal pagi 16 November lalu sempat lari jauh dan bersembunyi.

"Malah ada yang siap menukar pakaian bagi mengelabui orang ramai dan pihak berkuasa sementara menunggu peluang untuk keluar dari daerah berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Peringkat Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Abd Jalil berkata, pihaknya menerima laporan dalam tempoh lima hingga enam jam selepas kejadian pelatih tersebut meloloskan diri menyebabkan usaha mengesan dan menahan mereka agak mengambil masa.

Artikel Berkaitan:

"Kita dapati pihak CCRC berkenaan awalnya cuba mengesan sendiri pelatih yang lolos ini namun disebabkan keupayaan terbatas, mereka akhirnya melaporkan kepada pihak polis," katanya.

Beliau berkata, pihak CCRC diminta agar melaporkan segera jika berlaku kes pelatih meloloskan diri supaya tindakan lebih cepat dapat diambil dan mengelak mereka terlepas jauh.

"Pada masa sama, pihak CCRC juga diminta supaya tingkatkan aspek keselamatan dan pemantauan ke atas pelatih bagi mengelak kejadian itu terus berulang," katanya.

Sebelum ini tujuh pelatih terbabit berjaya melarikan diri dengan memecahkan tingkap tandas asrama dan keluar melalui pagar belakang.

Bagaimanapun empat daripada mereka berjaya diberkas dalam tiga tangkapan di lokasi berasingan di daerah itu pada hari berikutnya.

ARTIKEL BERKAITAN Tujuh pelatih CCRC Sungai Ruan lolos

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!