Pendang dilanda puting beliung

Kejadian puting beliung yang pernah dirakam pada tahun lalu.
Kejadian puting beliung yang pernah dirakam pada tahun lalu.
A
A
A

PENDANG - Penduduk Kampung Kuala Rimau, Mukim Air Puteh di sini melalui detik-detik cemas apabila puting beliung yang membawa angin kuat dengan bunyi yang menakutkan membadai kampung mereka petang semalam.

Sebanyak 13 buah rumah serta sebuah masjid di kampung berkenaan mengalami kerosakan terutama bumbung yang diterbangkan angin dalam kejadian pada jam 5.30 petang itu

Pegawai Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Pendang, Lt Norashikin Ahmad Zawawi berkata, kejadian itu turut disertai hujan lebat.

“Anggota APM bergegas ke lokasi malam tadi bagi mengalihkan beberapa batang pokok yang tumbang dan kerja itu bersambung pagi ini bagi menghulurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk terlibat,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang terjejas, Rokiah Darus, 60, berkata, angin kuat menyebabkan keseluruhan bumbung rumahnya diterbangkan angin sejauh beberapa meter.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama suami, Ramli Arob, 59, yang tidak dapat melihat serta ibunya Fatimah Bakar, 86, sedang minum petang selepas selesai menunaikan solat Asar dan cuaca ketika itu mulai mendung.

Kejadian puting beliung banyak memusnahkan kediaman penduduk. - Foto fail Bernama
Kejadian puting beliung banyak memusnahkan kediaman penduduk. - Foto fail Bernama

“Tiba-tiba kelihatan angin yang berputar datang menyebabkan beberapa pokok tumbang di hadapan rumah sebelum menerpa menggegarkan rumah...saya dan suami membawa ibu yang tidak larat berjalan lari keluar menyelamatkan diri.

Artikel Berkaitan:

“Mujur kami sempat keluar kerana selepas itu keseluruhan bumbung roboh dan diterbangkan angin,” katanya yang menganggarkan mengalami kerugian lebih RM5,000.

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan perabot rumah rosak dan bekalan elektrik terputus.

Bagi Siti Rohani Ramli, 60, pula berkata, dia bersyukur kerana tidak ditimpa kayu siling yang jatuh selepas bumbung rumahnya diterbangkan angin kuat dalam kejadian itu.

“Saya juga mengalami kesakitan dan kebas pada bahagian tangan dan kaki selepas tergelincir ketika mahu lari keluar menyelamatkan diri,” katanya yang turut memberitahu kejadian itu berlaku dalam tempoh seminit sahaja.

Sementara itu, tinjauan pemberita pagi ini di kampung tersebut mendapati, penduduk menjalankan gotong-royong membaiki bumbung rumah termasuk sebuah masjid yang terjejas dalam kejadian itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!