Anwar nafi menghadap Agong, undi tidak percaya terhadap PM

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan mesej tular kononnya beliau berada di Istana Negara pagi tadi untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau turut menegaskan tiada sebarang usaha ke arah untuk mengadakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menjelaskan beliau berada di Parlimen sejak pagi tadi.

"Itu (mesej) abaikan sebab itu ‘fake news’, itu benda yang berat, tak betul. Pagi ini saya di sini (Parlimen)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pagi tadi tular mesej di media sosial kononnya Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mengesahkan Anwar berada di Istana Negara untuk menghadap Al-Sultan Abdullah.

Justeru, Anwar berkata, mesej palsu itu dilihatnya sebagai usaha melaga-lagakan oleh pihak yang mahu melihat Pakatan Harapan (PH) menjadi lemah.

Dalam pada itu, Anwar berkata, ​​​​​​​undi tidak percaya terhadap perdana menteri tidak dibangkitkan dalam kalangan kepimpinan tertinggi komponen PH.

"Tidak bangkitlah. Takkanlah saya tidak tahu, saya hubungi Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu, (Lim) Kit Siang, (Lim) Guan Eng hampir setiap hari, (perkara itu) tidak berbangkit sama sekali dan tidak perlu pun kerana hubungan kita dalam kerjasama dan muafakat PH kuat," katanya merujuk kepada kepimpinan tertinggi parti komponen PH itu melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata, beliau tidak melayan sebarang spekulasi bahawa terdapat percubaan mewujudkan kerajaan 'pintu belakang' kerana peralihan kuasa perlu melalui saluran yang betul.

"Saya tidak rasa ada masalah jika ada yang berminat tapi ikut jalur biasa, kalau tidak nanti kita kena pakat dengan kelompok itu, kelompok ini, mesyuarat sulit sana, sini. Jadi tak tumpu kerja sedangkan masalah rakyat, ekonomi harus dibangunkan, masalah rakyat harus diselesaikan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!