JPJ rugi RM60 juta guna sistem manual
SEREMBAN - Sistem secara manual yang digunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membida nombor pendaftaran yang digunakan bagi tempoh tiga tahun lalu menyebabkan jabatan itu mengalami ketirisan sehingga RM60 juta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Sie Fook berkata, ketirisan yang direkodkan JPJ pada tahun 2016 adalah sebanyak RM21 juta, RM17 juta (2017) dan RM22 juta (2018).
“Dalam sistem lama secara manual yang digunakan dulu, pembida hanya perlu membayar sebanyak 50 peratus daripada jumlah bidaan bagi nombor pendaftaran kenderaan yang dikehendaki.
“Tapi selepas menang bidaan, ada di antara mereka yang tidak menyelesaikan baki bayaran 50 peratus dari jumlah bidaan yang dibuat dan ini menyebabkan JPJ rugi kerana tidak boleh buat tuntutan kerana pembida tidak mendaftarkan nombor kenderaan yang dibida,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Melancarkan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) Untuk Siri Nombor ‘NDN’ Negeri Sembilan di Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Siri NDN iaitu siri ke-38 yang menggunakan sistem JPJeBid akan dibuka selama lima hari bermula 28 November ini manakala keputusan akan diumumkan pada 3 Disember.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, melalui sistem berkenaan, kaedah pembayaran bidaan dilakukan sepenuhnya secara automatik menggunakan kad kredit dan kad debit tempatan pembida.
“Sistem ini dapat mengelakkan ketirisan daripada berlaku. Ini kerana pembida perlu membayar dahulu jumlah bidaan dan jika menang nombor yang dibida dalam tempoh lima hari jumlah itu akan terus dikredit ke akaun kerajaan.
“Jadi, pembida akan rugi jika mereka tidak mendaftar nombor kenderaan itu kerana bayaran sudah dibuat,”katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, sejak sistem itu diperkenalkan April lalu, ia telah berjaya mencatatkan hasil kutipan sebanyak RM47 juta.
“Pada mulanya, kita fikir sistem ini akan ambil masa lebih lama untuk diimplementasikan secara meluas ke seluruh negara. Namun terbukti dalam tempoh tujuh bulan sahaja, sistem ini berjaya dilaksanakan di semua negeri dan setakat ini seramai 109,361 orang telah mendaftar.
“Dalam setiap siri sistem ini secara purata memberikan hasil pendapatan kepada negara sebanyak RM1.2 juta dengan siri tertinggi adalah ALL iaitu RM3.4 juta,” katanya.
Malah beliau juga yakin sistem itu akan menjadi contoh kepada lain terutama di negara ASEAN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!