Rumah terbakar: Penoreh getah tinggal sehelai sepinggang
JERANTUT - Seorang penoreh getah tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya di Kampung Mat Daling, Ulu Tembeling musnah dalam kebakaran petang semalam.
Rumah kayu sepenuhnya itu musnah 100 peratus dalam kejadian tersebut.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, pemilik rumah, Wan Mohamed Razali Wan Aman, 56, dan ahli keluarganya berada di bandar Jerantut.
Dia mendapat panggilan mengenai kejadian itu daripada anak saudaranya pada jam 3.10 petang.
"Saya berada di bandar Jerantut ketika menerima panggilan mengenai kejadian itu.Yang tinggal anak lelaki tetapi kebetulan ketika kejadian dia tiada di rumah juga.
"Saya hanya mampu lihat rumah yang telah musnah dijilat api dan tiada apa yang dapat diselamatkan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Walaupun sedih melihat rumah yang didiami empat beranak termasuk dirinya, namun dia menarik nafas lega kerana tidak membabitkan sebarang kecederaan ataupun nyawa.
"Sedih memang sedih. Rumah yang menyimpan pelbagai kenangan dan menjadi tempat kami berteduh selama ini musnah.
"Apa-apa pun saya redha dan anggap ia satu ujian buat kami sekeluarga, "katanya lagi.
Buat sementara waktu dia dan keluarga akan tinggal di rumah pusaka keluarganya yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
Bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB mangsa: 7035656385 (Wan Mohamed Razali Wan Aman).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!