Lelaki warga India maut ketika lintas jalan
BATU GAJAH - Seorang lelaki warganegara India maut dilanggar kereta ketika melintas jalan di KM25 Jalan Ipoh - Lumut berhampiran Tronoh di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pembantu restoran mamak di Pusing di sini maut akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kemalangan itu membabitkan Mercedes E230 dengan seorang pejalan kaki.
“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu warga emas lelaki berusia 72 tahun itu dalam perjalanan dari Lumut menuju ke Ipoh.
“Setibanya di lokasi kejadian, kereta terbabit terlanggar mangsa yang sedang melintas jalan dari kanan ke kiri jalan,” katanya.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, mangsa yang cedera di bahagian kepala disahkan maut oleh pegawai perubatan.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.
“Kemalangan itu berpunca daripada kecuaian ketika melintas jalan. Tiada tangkapan dilakukan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!