'Azmin cuba tarik perhatian, mahu dipecat untuk jadi hero'

Ahmad Syukri Che Ab Razab dan Azmin
Ahmad Syukri Che Ab Razab dan Azmin
A
A
A

SHAH ALAM - Tindak-tanduk Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kebelakangan ini disifatkan sebagai cubaan untuk tarik perhatian media.

Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, melihat tindakan terkini Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dan pengikutnya, beliau mendakwa Mohamed Azmin mungkin gemar beliau dilayan seperti fenomena.

Menurutnya, tidak banyak perkara yang perlu dirisaukan dengan tindakan terkini dilakukan Mohamed Azmin.

“Apa yang dilakukan Azmin Ali ini hanya sekadar ingin memastikan beliau menjadi subjek perhatian media. Mungkin Azmin memang gemar beliau dilayan seperti fenomena. Publisiti buruk itu tetap publisiti yang baik bagi politikus yang gilakan lensa kamera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dakwanya, Mohamed Azmin kini sedang menguji kesabaran kepimpinan PKR dengan kerenahnya.

Katanya, pelbagai dinding disiplin telah dirempuh bekas Menteri Besar Selangor itu malah saranan kepimpinan utama PKR untuk beliau hadir ke mesyuarat diabaikan tanpa rasa segan apatah lagi bersalah.

“Terbaru, berlangsung perjumpaan beberapa orang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di rumah Azmin Ali pada malam Isnin lalu.

“Perjumpaan sulit ini sama ada terpecah atau sengaja dipecahkan kepada umum, hanya Azmin Ali dan setiawannya yang tahu.

Artikel Berkaitan:

“Namun saya merasakan tidak apa yang perlu dirunsingkan mengenai pertemuan ini. Ini merupakan satu lagi gimik daripada Azmin Ali untuk menunjukkan betapa beliau kononnya masih relevan dalam politik hari ini,” katanya.

Ahmad Syukri berkata, Mohamed Azmin didakwa akan terus buat masalah sehinggalah parti memecatnya.

Katanya, setelah dipecat, Timbalan Presiden PKR itu dan pengikutnya akan mendabik dada sebagai hero yang telah dianiaya kerana bersuara untuk kebenaran.

“Walhal kebenarannya ialah mereka ini merupakan kabilah pintu belakang yang sering menyebabkan keadaan yang tenang menjadi serabut.

“Mereka inilah kabilah yang suatu ketika dahulu sangat tidak senang dengan penubuhan Pakatan Harapan (PH) sehingga mereka terus ‘bercumbuan’ dengan Pas di Selangor yang pada ketika itu Azmin adalah Menteri Besarnya.

“Kabilah ini jugalah yang lantang membantah apabila PH sepakat memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan,” katanya.

Menurutnya, kata-kata Malaysia memerlukan pemimpin yang lebih muda seperti dilafazkan sebelum ini hanya ayat berkias untuk mengangkat ketua kabilah pintu belakang yang bernafsu besar.

“Mudah untuk kita fahami bahawa apa yang sedang berlaku ini adalah kerana nafsu besar sang ketua kabilah pintu belakang yang mahu menjadi Perdana Menteri.

“Untuk itu beliau memuji Tun Mahathir yang suatu ketika dahulu beliau sendiri pertikaikan. Beliau cuba mempamerkan kekuatan dengan menunjukkan semua Ahli Parlimen UMNO berada di bawah telunjuk beliau.

“Dengan ini ketua kabilah pintu belakang ini mengharapkan beliau akan mendapat sokongan daripada Tun Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri namun malangnya, dengan ilmu matematik mudah, nafsu besar ketua kabilah pintu belakang ini mungkin akan menjadi cita-cita yang tak tercapai.

“Justeru, nasihat saya kepada ketua kabilah pintu belakang dan setiawannya, berhentilah mengetuk pintu belakang dan kembalilah ke pintu hadapan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!