Polis lantik pakar AS siasat video intim mirip menteri
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melantik khidmat pakar dari Amerika Syarikat (AS) untuk menilai kesahihan video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri dan bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pasukannya sudah menyerahkan rakaman video yang tular di aplikasi WhatsApp dan menunggu laporan daripada pakar berkenaan.
"Pasukan siasatan yang pergi ke AS baru-baru ini telah pulang ke tanah air. Kita sudah lantik pakar dari luar negara untuk kenal pasti ketulenan video dan proses pengecaman wajah individu terlibat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Huzir berkata, laporan itu nanti akan dirujuk oleh Jabatan Peguam Negara.
Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai pakar berkenaan, sebaliknya hanya menjelaskan bahawa ia adalah pakar dari sebuah universiti dan pernah memberi keterangan di mahkamah.
"Pakar ini pernah dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah dalam kes lain," katanya.
Huzir berkata, pihaknya turut memaklumkan bahawa kertas siasatan sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebanyak lapan kali.
"Beberapa arahan sudah diberi dan tindakan daripada arahan itu sudah kita laksanakan dan kita juga mengesahkan sudah diarahkan untuk mendapatkan pandangan pakar berkecuali, bagi analisa video berkenaan," katanya.
Mengulas mengenai laporan video dilakukan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang membawa video berkenaan ke luar negara untuk disiasat, pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengambil tindakan lanjut.
"Lokman Adam kita sudah panggil berhubung tindakannya bawa video itu ke pakar luar negara, kita juga sudah kesan bahawa laporan itu ditularkan dalam media sosial. Kita sudah bawa ke pengetahuan Peguam Negara sama ada hendak terima laporan berkenaan atau tidak," katanya.
Pada 12 Jun lalu, Haziq mengaku terlibat dalam video intim tersebut dan turut mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tetapi dinafikan Timbalan Presiden PKR itu yang menyifatkan ia komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Polis kemudian mengumumkan penubuhan sebuah pasukan petugas forensik yang terdiri daripada polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta agensi lain untuk menentukan ketulenan video tersebut.
Susulan itu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pada 18 Julai lalu mengumumkan analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video intim tersebut adalah tulen, tetapi ia tidak dapat mengecam individu dikatakan mirip seorang menteri itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!