Pas Kedah desak kerajaan serius bangun Sungai Batu
MERBOK – Pas Kedah mendesak agar kerajaan negeri dan Pusat memberi tumpuan terhadap pembangunan tapak arkeologi Sungai Batu yang dilihat mampu menyingkap sejarah identiti ketamadunan bangsa sekali gus diiktiraf sebagai tamadun awal Asia Tenggara.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya berkata, Sungai Batu yang terletak di Lembah Bujang lebih dikenali sebagai lokasi penemuan candi dan penyebaran agama Hindu-Buddha selama ini namun sebenarnya ia lebih daripada itu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu berkata, penemuan tapak ekskavasi pada tahun 2007 di lokasi Sungai Batu bagaimanapun membuktikan kawasan industri peleburan besi telah wujud sejak abad pertama Masihi iaitu kira-kira 2000 tahun dahulu hingga abad ke-13 Masihi atau 800 tahun dahulu membuktikan bangsa terdahulu telah maju dalam teknologi serta perdagangan.
“Sampai hari ini, apa yang disebut pengkaji, bila wujudkan perdagangan, wujudnya industri peleburan besi, sudah tentu ada kerajaan yang mentadbir, cuma persoalannya ialah kerajaan memerintah pada waktu itu siapa?
“Itu yang belum dapat ditemui, sebab kajian dibuat tidak dikaji dari sudut sejarah cuma ada fakta bahan bukti seperti usia artifak dan sebagainya, maksudnya ada pihak lagi yang perlu terlibat untuk membuat kajian di sini sampai kita boleh bongkar sejarah bangsa kita yang sebenarnya,”katanya.
Beliau ditemui ketika hadir Taklimat Khas Tamadun Kedah Tua bersama wakil rakyat Pas Kedah di Sungai Batu hari ini.
Menurutnya, Pas Kedah bersedia untuk bekerjasama dalam usaha membangunkan tapak berkenaan di mana beliau percaya berpotensi besar menjadi lokasi arkeopelancongan negara selain membangunkan produk hiliran masyarakat setempat.
Katanya, penglibatan awal bekas Menteri Besar Kedah dari Pas iaitu Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak telah membantu dalam usaha awal kerja-kerja ekskavasi di tapak arkeologi menunjukkan parti itu tiada halangan untuk bekerjasama malah bersetuju agar dibangunkan demi rakyat.
Katanya, kesinambungan usaha untuk membawa Sungai Batu ke tahap seterusnya harus diambil serius kerajaan negeri mahupun pusat.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi berkata, satu kerugian sekiranya Sungai Batu tidak mendapat perhatian sewajarnya memandangkan ia merupakan tapak warisan agung bangsa terdahulu yang berpotensi dibangunkan menerusi pelbagai prospek antaranya ekonomi dan pelancongan.
“Kita bimbang sekiranya kerajaan tidak melihat ke arah kepentingan ini sebaliknya memberi tumpuan terhadap pembangunan projek baharu disebabkan alasan memerlukan kos tinggi untuk diangkat ke tahap seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kehadiran wakil rakyat Pas ke Sungai Batu untuk melihat secara lebih dekat serta memahami sejarah awal selain mengenal pasti sejauh mana ia diberi perhatian kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!