Kes Adib: Polis guna mesin poligraf ke atas saksi utama

Huzir
Huzir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan menggunakan mesin poligraf terhadap tujuh saksi utama yang akan tampil bagi membantu siasatan kes arwah Muhammad Adib Mohd Kassim

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya mengenal pasti tujuh saksi utama yang dipercayai berada di lokasi ketika kejadian.

"Mesin poligraf ini dapat membantu bagi memastikan individu berkenaan telus memberi keterangan atau tidak.

"Kita akan mendapat bantuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menggunakan mesin tersebut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, tadi.

Menurutnya, seramai 30 saksi telah memberi keterangan semasa inkues tersebut.

"28 daripada saksi itu pernah kita rakam percakapan sebelum ini, manakala dua doktor pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur telah tampil ke Bukit Aman untuk dirakam percakapan hari ini," katanya.

Beliau berkata, polis akan merakam percakapan Pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ir. Dr. Amir Radzi Ab. Ghani dan bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang dahulu dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid.

"Kedua-dua individu akan dirakam percakapan dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 27 September lalu, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.

Sepanjang prosiding inkues bermula Februari lalu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid, dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!