Perak dicadang wujudkan perbadanan di Pangkor

Zambry Abdul Kadir
Zambry Abdul Kadir
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak dicadang menubuhkan sebuah perbadanan di Pulau Pangkor selaras dengan pengisytiharan sebagai pulau bebas cukai pada 1 Januari depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perbadanan itu bagi memastikan pembangunan bersepadu dapat dilakukan secara strategik dan terancang.

"Seperti di Pulau Langkawi, mereka ada Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) yang memastikan pembangunan dapat diusahakan dengan baik.

"Jadi saya syorkan diwujudkan juga satu perbadanan baharu di Pangkor," katanya pada sesi perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Menurutnya, kerajaan terdahulu mempunyai hasrat menjadikan kawasan itu sebuah pulau istimewa untuk keluarga membeli-belah, bukan seperti konsep bebas cukai di tempat yang lain.

"Kita nak jadikan ia seperti syurga membeli belah untuk keluarga dengan menjual produk-produk sihat dan berfaedah.

"Malah turut dicadangkan Pangkor ini dijadikan pulau hijau yang tidak tercemar dengan memperkenalkan motosikal dan teksi kuasa elektrik," katanya.

Bekas menteri besar Perak itu berkata, tidak seperti Langkawi, Pulau Pangkor mempunyai saiz 10 kali jauh lebih kecil yang perlu mengetengahkan kelainan dan keunikan sendiri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia termasuklah memperkenalkan produk-produk tempatan antaranya pusat konservasi penyu, taman tema air juga aktiviti sukan air seperti jet ski dan iron man.

"Pengunjung yang datang ke Pulau Pangkor bukan sekadar untuk ke pantai, tetapi ada tarikan-tarikan lain selain jadikan ia bebas cukai," katanya.

Pengisytiharan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai membabitkan peruntukan keseluruhan RM486 juta dan menjadi antara projek berimpak tinggi dilaksanakan di Perak dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!