Aidil Zafuan puas benteng tidak bolos

Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak -Foto FAM
Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak -Foto FAM
A
A
A

KAPTEN Harimau Malaya, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak nyata berpuas hati apabila berjaya memastikan benteng pertahanan negara tidak dibolosi sekali gus memastikan kemenangan 2-0 menewaskan Indonesia, malam tadi.

Pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, gandingan pertahanan negara iaitu Aidil, Shahrul Saad dan Corbin Ong Lawrence berjaya mengekang asakan serangan Indonesia seterusnya mendapat pujian pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe.

"Bagi saya sebagai pemain pertahanan apabila kita tak dibolosi itu adalah satu kepuasan dalam permainan. Bukan sahaja untuk saya, tapi untuk semua.

"Alhamdulillah segala perancangan pasukan untuk dua perlawanan di gelanggang sendiri ini kita dapat enam mata, apa yang dirancang semua menjadi.

"Biar pun kita memulakan permainan malam ini sedikit perlahan, tapi kita berjaya memanfaatkannya dan berjaya memenanginya," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

Tambah pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, peluang untuk layak ke peringkat seterusnya dalam saingan kelayakan itu masih lagi terbuka.

"Thailand dan Vietnam mencatat keputusan seri dan kita kini berada di nombor dua Kumpulan G. Jadi, kita akan terus fokus untuk perlawanan seterusnya menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE)," katanya.

Sementara itu, pemain tengah, Mohamed Syamer Kutty berterima kasih kepada Cheng Hoe kerana memberi kepercayaan kepadanya membarisi kesebelasan utama pasukan.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada lagi baki tiga perlawanan dan itu masih lagi jauh. Saya akan perbaiki beberapa aspek kelemahan pada saya. Kita akan berusaha untuk menjadi pasukan terbaik Asia dan Insya-ALLAH kita mampu lakukannya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!