Remaja maut nahas ketika ke sekolah

Orang ramai memenuhi lokasi kejadian yang meragut seorang pelajar tingkatan empat pagi tadi. - Foto: PDRM
Orang ramai memenuhi lokasi kejadian yang meragut seorang pelajar tingkatan empat pagi tadi. - Foto: PDRM
A
A
A

BESUT - Seorang pelajar lelaki tingkatan empat maut, manakala adik lelakinya parah apabila motosikal dinaiki berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Pusu Tinggi di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z dinaiki dua beradik itu, masing-masing berumur 16 dan 13 tahun dalam perjalanan dari arah Kampung Tok Has menghala ke Gong Kedak di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berumur 56 tahun keluar dari simpang sebelum berlaku pelanggaran menyebabkan kecederaan parah sehingga mangsa yang menunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Akibat pelanggaran kuat itu, kedua-dua beradik ini tercampak ke bahu jalan. Mangsa disahkan meninggal dunia kerana parah di kepala dan adiknya juga mengalami kecederaan parah di kepala sebelum dihantar mendapatkan rawatan ke Hospital Besut.

"Bagaimanapun pemandu pacuan empat roda berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi dilihat dalam keadaan trauma dan terkejut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!