Pandangan berbeza cadangan ganti hukuman mati mandatori
KOTA KINABALU - Lima sesi town hall Jawatankuasa Khas Kajian Cadangan Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori mendapat maklum balas berbeza daripada orang awam.
Pengerusi jawatankuasa itu yang juga bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum berkata, pelaksanaan sesi town hall ini penting untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pihak berkepentingan di peringkat akar umbi.
"Maklum balas diterima setakat ini sangat baik. Kami kumpul semua pendapat dan analisis dimasukkan dalam rekomendasi yang dibentangkan kepada kabinet oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.
"Rekomendasi itu akan disiapkan pada Januari tahun depan dan dijangka dibentangkan di kabinet kemudian pada Mac," katanya ketika ditemui selepas sesi town hall jawatankuasa khas itu di sini hari ini.
Sesi tersebut dikendalikan Pengarah Jabatan Keselamatan Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr P Sundramoorthy dan antara panel yang hadir adalah bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan bekas Peguam Cara Negara, Datin Paduka Seri Zauyah Be T Loth Khan.
Pihak berkepentingan hadir pada sesi konsultasi awam itu termasuk orang awam, kementerian, Jabatan dan Oeetumbuhan Bukan Kerajaan.
Richard berkata, cadangan gantian hukuman mati mandatori itu membabitkan sebelas seksyen.
Menurutnya, pandangan dan maklum balas menerusi lima sesi town hall yang diterima sebelum ini adalah bercampur iaitu ada yang bersetuju dengan cadangan itu dan ada tidak bersetuju.
"Ada juga yang mahu hukuman mati dihapuskan," katanya.
Beliau berkata, terdapat dua lagi sesi town hall selepas ini di Kuching, Sarawak esok dan Kota Bahru, Kelantan pada minggu depan sebelum sesi perjumpaan dengan ahli Parlimen di Parlimen.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri menjadi Sekretariat sesi town hall tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!