KUALA LUMPUR - Polis menahan 10,002 wanita tempatan dan warga asing yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tidak bermoral menerusi Operasi Noda di tujuh negeri sejak Januari hingga Oktober lalu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, serbuan itu dilakukan di Sarawak, Kuala Lumpur, Perak, Sabah, Pulau Pinang, Selangor dan Johor. “Kita telah menahan 10,002 wanita termasuk 384 warga tempatan yang dipercayai bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) dan pelacur," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini tadi. Beliau berkata, daripada jumlah itu, wanita warga Vietnam paling ramai ditahan melibatkan 1,693 orang diikuti Thailand dan China. “Sebanyak 2,633 serbuan dilakukan di tujuh negeri terbabit sepanjang tempoh berkenaan membabitkan 1,686 premis bar, 802 pusat karaoke dan 145 kelab malam,” katanya. Dalam perkembangan sama, Huzir memaklumkan, seramai 7,591 individu ditahan menerusi 3,422 serbuan dilakukan di seluruh negara bagi tempoh sama dalam operasi judi dalam talian. "Kita turut merampas 41,981 alat yang digunakan untuk kegiatan judi dalam talian termasuk komputer, komputer riba, tab dan telefon bimbit serta wang tunai RM1.1 juta dalam operasi itu," katanya. Menurutnya, tindakan pihak polis yang kerap melakukan serbuan memaksa sindiket mengubah modus operandi mereka dengan beroperasi secara tertutup pada waktu malam. “Malah, mereka hanya menerima pelanggan tetap yang dikenali untuk masuk ke premis sebelum diberi tab untuk berjudi,” katanya. Beliau berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan secara konsisten untuk membanteras kegiatan judi dalam talian. “Kita menyeru orang ramai supaya tampil memberikan maklumat berhubung kegiatan itu dengan menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah di kontinjen berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.