Usul khas kecam serangan Zionis dibahas Isnin ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat akan membahaskan usul khas mengecam serangan udara dilancarkan rejim Zionis yang mengorbankan nyawa dan kecederaan orang awam di Semenanjung Gaza pada Isnin ini di Kamar Khas bangunan Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memutuskan membenarkan usul itu dibahaskan selepas meneliti tiga syarat utama yang ditetapkan.

“Saya teliti perkara ini dan menepati tiga syarat (perkara tertentu, bagi kepentingan orang ramai, berkehendak disegerakan). Oleh yang demikian, saya benarkan usul ini dibahaskan... bukan dalam dewan tapi di Mahkamah Khas (Kamar Khas).

“Mengikut Peraturan Mesyuarat Perkara 16, usul ini akan dibahaskan di Kamar Khas pada 25 Nov, Isnin pada 2.30 petang. Saya akan benarkan pihak pencadang bahas selama 30 minit, dan selepas itu kerajaan jawab 30 minit,” katanya.

Menurut Mohamad Ariff, adalah memadai perkara itu dibahaskan di Kamar Khas memandangkan sesi persidangan kali ini tertumpu pada perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan mengusulkan cadangan itu mengikut perkara 18 (1) dan 18 (2) dalam Peraturan Mesyuarat bagi tujuan merundingkan perkara tertentu, berkenaan kepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan.

“Saya berpandangan ia adalah perkara tertentu dan melibatkan kepentingan ramai kerana serangan semakin mengganas menyasarkan rakyat awam ...usul ini juga berkehendak disegerakan kerana ia didalangi Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan tidak menunjukkan tanda akan reda selain kekejaman tersebut bertentangan undang-undang antarabangsa,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!