Pembangkang tiada kaitan memorandum reformis
IPOH - Pembangkang Perak tidak terlibat dalam pengedaran memorandum rakyat oleh Pertubuhan Rangkaian Organisasi Reformis Malaysia (Pro 98 Reformis) Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad berkata, siasatan dijalankan bersama Pejabat Speaker DUN menunjukkan set dokumen itu dihantar Pejabat Menteri Besar kepada Pejabat Ketua Pembangkang dengan arahan untuk edaran kepada wakil rakyat pembangkang.
Menurutnya, oleh kerana menyangka ia satu urusan rasmi, maka pegawai itu telah menyerahkan kepada Bentara Dewan untuk diedarkan kepada wakil-wakil pembangkang dengan anggapan wakil kerajaan turut menerima edaran sama.
"Kita terima apabila Speaker DUN mengatakan ia berlaku disebabkan masalah komunikasi dan salah faham, namun beliau tidak sewajarnya menuding jari kepada pembangkang tanpa membuat siasatan terlebih dahulu," katanya pada sidang media di sini.
Terdahulu, Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menjelaskan, memorandum daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu telah dikemukakan kepada Pejabat Menteri Besar di luar bangunan untuk diberikan kepada kedua-dua pihak.
Set dokumen bagi pihak kerajaan telah disimpan di Pejabat Menteri Besar, sementara untuk pembangkang dihantar ke Pejabat Ketua Pembangkang.
Saarani berkata, pihaknya membuat keputusan untuk tidak terlibat dalam serahan memorandum itu kerana tidak mahu dikaitkan dengan pertikaian politik.
"Dari nama (NGO) itu sendiri kita tahu siapa mereka sebab itu saya tidak turun walaupun dijemput untuk terima secara rasmi," katanya.
Isu memorandum berkenaan timbul ketika sesi perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin hari ini.
Dokumen bertulis memorandum rakyat negeri Perak itu merupakan salinan yang hendak diserahkan kepada Sultan Perak.
ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib ketika mencelah memberitahu, kandungan memorandum itu mengandungi perkara-perkara yang dianggap satu tuduhan dan memalukan pihak kerajaan sendiri.
Sementara itu, Saarani turut mengingatkan Menteri Besar untuk tidak memandang ringan hujahan pembangkang dan kritikan yang diberikan dalam kalangan anggota kerajaan sendiri sama ada secara terbuka mahupun dalam Sidang DUN.
Katanya, isu seperti itu sekiranya terus dibiarkan akan memberi impak lebih teruk dari segi kepercayaan rakyat dan kestabilan politik dalam kalangan pentadbir kerajaan.
"Ada antara kandungan dalam memorandum ini turut dibangkitkan oleh beberapa wakil kerajaan dalam Sidang Dewan antaranya dari Astaka, Buntong dan Jalong.
"Ini perkara yang disebutkan sendiri ahli-ahli Pakatan Harapan dan bukan pembangkang yang boleh dikaitkan dengan unsur politik.
"Sudah semestinya ada kebenaran apabila mereka mengkritik kerajaan mereka sendiri, jadi Pejabat Menteri Besar kena lihat secara serius," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Sidang DUN Perak kecoh isu memorandum rakyat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!