Mekanik maut dalam nahas

Motosikal mangsa yang rosak teruk akibat bertembung dengan sebuah SUV dalam kemalangan di Kuala Berang pagi tadi. -Foto PDRM
Motosikal mangsa yang rosak teruk akibat bertembung dengan sebuah SUV dalam kemalangan di Kuala Berang pagi tadi. -Foto PDRM
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang mekanik maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) di Kilometer 8 Jalan Kuala Berang-Teris dekat selekoh Kampung Paya Akob, Kuala Berang, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, mangsa, Muhamad Aidilfikri Anuar, 27, dari Gua Musang, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superitendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 150Z dalam perjalanan dari Kuala Jeneris menghala ke Kuala Berang untuk pergi ke rumah abangnya di Kuantan, Pahang.

"Setiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan SUV tersebut.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pemandu SUV jenis Nissan Xtrail yang juga seorang pesara berumur 62 tahun dari Kampung Matang, di sini, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohd Adli berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan berbahaya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!