Pengusaha ketum di Kedah dan Perlis mahu jaminan
JERLUN - Pengusaha ketum di Kedah dan Perlis berharap kerajaan mempunyai jaminan konkrit dalam memastikan usaha dan inisiatif mereka beralih ke tanaman alternatif mendapat pendapatan setimpal seperti sebelum ini.
Seorang pengusaha, Mat Zin Ahmad, 65, berkata, jaminan itu diperlukan untuk memastikan ekonomi mereka tidak terjejas sekiranya pindaan Akta Racun 1952 itu diluluskan di Parlimen kelak.
Katanya, sesi dialog yang berlangsung hari ini juga tidak memberi sebarang keputusan muktamad selain hanya janji-janji sahaja.
"Jika pindaan diluluskan, kami akan akur cuma sebagai pengusaha yang dah lama mengusahakan tanaman ini, kami perlukan suatu alternatif yang tidak akan merugikan kami kelak," katanya ketika ditemui selepas Majlis Dialog Ketua Pengarah AADK bersama pengusaha ketum Kedah Perlis di Giat Mara Jerlun di sini hari ini.
Mat Zain berkata, dia yang mula mengusahakan tanaman ketum sejak lapan tahun yang lalu telah beralih ke tanaman pokok kelapa pandan sejak 2016.
"Saya berhasrat untuk memusnahkan semua pokok ketum berkenaan selewat-lewatnya Februari depan untuk memberi tumpuan kepada tanaman kelapa pandan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pertanian Kedah, Ramli Abdul Rahman berkata, pihaknya mempunyai beberapa program yang boleh dilaksanakan bersama pengusaha yang bercadang menukar tanaman.
"Bagi pengusaha ketum ini kita boleh lihat kesesuaian tempat dan tanaman yang boleh dilakukan di kawasan terbabit.
"Contohnya tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran malah mereka boleh ke pejabat pertanian daerah untuk rujukan.
"Sebagai contoh tanaman sayur sawi dan kangkung hanya memakan masa selama 28 hari manakala cili fertigasi boleh dituai dalam tempoh 20 hari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!