KPDNHEP rampas 10,190 kasut, selipar tiruan bernilai RM365,400
KUALA LUMPUR - Sebanyak 10,190 pasang kasut dan selipar tiruan pelbagai jenama antarabangsa dianggarkan bernilai RM365,400 dirampas dalam serbuan berasingan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur hari ini.
Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, operasi serbuan pada 12.30 tengah hari itu dilakukan di tiga premis di Jalan 3/2B Taman Desa Bakti dan Jalan Melati 18, Taman Seri Melati, Batu Caves selepas risikan selama sebulan di lokasi berkenaan.
“Kasut-kasut tiruan yang dirampas membabitkan pelbagai jenama seperti Adidas, Nike, Vans dan Converse.
"Serbuan dilakukan di ketiga-tiga premis dan pemilik stor berjaya ditahan ketika membuka stornya untuk memulakan perniagaan di Taman Desa Bakti,” katanya di lokasi serbuan di Taman Seri Melati di sini hari ini.
Ariffin berkata, ketika ditahan, pemilik yang berusia 60 tahun itu mengaku selain dua stornya di Taman Desa Bakti, terdapat satu lagi premis miliknya di Taman Seri Melati, lantas pihaknya melakukan serbuan di lokasi berkenaan.
Kesemua barangan tiruan itu dipercayai diperoleh dari luar negara untuk edaran di sekitar Lembah Klang, dengan harga jualan serendah RM10 bagi setiap pasang selipar manakala kasut dijual dengan harga RM45 ke atas.
“Kami juga percaya, premis-premis ini telah beroperasi lebih dua tahun dan pemilik telah terlibat dengan penjualan kasut-kasut ini selama 30 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dikenakan denda serta penjara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, sebanyak 112,105 unit barangan tiruan dianggarkan bernilai RM4.33 juta disita sejak Januari lepas hingga kini membabitkan 143 kes direkodkan KPDNHEP Kuala Lumpur di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Ariffin berkata, pihaknya mengambil tindakan berterusan dalam penguatkuasaan hak harta intelek bagi memastikan ia dilindungi dan dihormati, sekali gus memastikan Malaysia tidak menjadi pusat jualan barang tiruan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penjualan barangan tiruan diminta mengemukakan aduan dengan melayari portal KPDNHEP menerusi e-aduan@kpdnhep.gov.my atau hubungi pusat panggilan kami di talian 1800 886 800 selain menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp di nombor 019 279 4317," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!