Inovasi SargaPrebio ternakan akuatik
USAHA membangunkan sektor pembekalan sumber sungai atau laut tempatan agar lebih berdaya saing dan moden amat didahagakan demi kelangsungan industri perikanan negara.
Prihatin terhadap perkembangan keperluan pasaran tempatan dan luar negara, saintis universiti terkemuka, Muhammad Farhan Nazarudin bersama pasukannya berjaya merintis satu produk baharu yang dinamakan serbuk SargaPrebio.
Inovasi penyelidikan sumber prebiotik rumpai laut yang dilaksanakan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu misalnya dilihat mampu memberi manfaat terhadap pertumbuhan spesies ikan marin.
Penyelidikan tersebut mula dijalankan sejak Mac 2011 dan berakhir pada Disember 2014 lalu. Pembiayaannya pula di bawah Higher Education Centre of Excellence (HICoE), Kementerian Pendidikan Tinggi.
Barisan penyelidik yang terlibat dalam projek berkenaan adalah Profesor Dr Fatimah Md Yusoff, Profesor Madya Dr Ina Salwany Md Yassin dan Profesor Madya Dr Mohammed Aliyu-Paiko.
Menariknya, fitur baharu itu berkaitan dengan potensi sumber prebiotik daripada rumpai laut khususnya makro-alga coklat, Sargassum Polycystum.
Mengulas lanjut mengenai kajian saintifik itu, Muhammad Farhan menjelaskan, hasil kajian menunjukkan rumpai laut tersebut boleh digunakan sebagai makanan prebiotik atau suplemen tambahan untuk anak benih ikan daripada spesies ternakan akuatik.
“Ujian menunjukkan pengambilan Sargassum Polycystum yang mengandungi fucoidan iaitu polisakarida tidak boleh dicerna secara oral itu berupaya meningkatkan tumbesaran dan efisiensi makanan.
“Hasil kajian terdahulu, pengambilan suplemen makanan berkenaan dilihat mampu meningkatkan pertumbuhan spesies ikan marin selain memberi kesan positif terhadap kelangsungan hidup dan respon imun ternakan,” ujarnya.
Atas justifikasi tersebut, pihaknya meneruskan penyelidikan terhadap kemampuan Sargassum Polycystum dalam merangsang pertumbuhan dan penyebaran bakteria lactococci yang bermanfaat.
Hasil kajian lanjut mendapati, sumber prebiotik rumpai laut itu turut merangsang bakteria sihat (terutamanya Lactobacillus Paracasei Subspesies Paracasei) dalam saluran gastro usus ikan, kata Muhammad Farhan.
“Justeru, ia mampu meningkatkan jumlah sel darah putih (WBC) dan sel darah merah (RBC) termasuk protein karkas serta jumlah kandungan elemen besi (Fe) yang sesuai,” jelasnya.
Ditanya mengenai kekangan pemilihan bakteria sihat itu, Muhammad Farhan berkata, bakteria probiotik yang dicadangkan berkenaan sebenarnya banyak memberikan faedah kepada hos apabila diperkenalkan ke dalam saluran gastro usus (GIT) untuk menapai makanan tidak dicerna.
Menurutnya, walaupun ada beberapa bakteria telah disaring dan dilaporkan mempunyai ciri-ciri probiotik, namun pilihan spesifik strain untuk mendapatkan kesan tepat pada manusia dan haiwan lain yang diternak bukannya mudah.
“Jika ekosistem usus didiami lebih daripada 400 spesies bakteria dan dibahagikan kepada beberapa niche ekologi yang diambil sebagai pertimbangan, ia jelas menunjukkan pemilihan bakteria untuk digunakan sebagai bahan makanan atau agen bioterapeutik lebih kompleks.
“Tiada strain tunggal kepunyaan sesuatu spesies mampu mempunyai semua ciri diperlukan untuk menjadikannya probiotik yang sesuai,” bicaranya yang turut memperkenalkan konsep prebiotik dalam kajian saintifik tersebut.
Saringan
Mengulas lanjut, Muhammad Farhan menjelaskan, konsep prebiotik diperkenalkan yang mana oligosakarida tidak dikenali dalam hos, diketahui terbukti dapat merangsang pertumbuhan selektif tertentu organisma probiotik.
“Sebelum potensi oligo atau polisakarida diluluskan, beberapa ujian makmal diperlukan melibatkan sebilangan besar bakteria probiotik yang berpotensi disaring terhadap oligosakarida.
“Ini memakan masa. Mungkin pada penghujungnya, oligosakarida atau polisakarida yang dicadangkan tidak berfungsi sebagai prebiotik dalam spesies berlainan,” ujarnya lagi.
Berdasarkan perkara tersebut katanya, penyelidikan menunjukkan pendekatan terbaik dalam pemilihan prebiotik dan probiotik adalah gabungan oligosakarida atau polisakarida yang betul.
Terang Muhammad Farhan, gabungan itu apabila ditambah dalam diet haiwan marin berupaya meningkatkan percambahan probiotik yang betul dalam organisma secara semula jadi secara selektif.
Bagaimana ia berfungsi?
Rumpai laut Sargassum Polycystum itu akan dikeringkan, dikisar halus dan ditapis pada saiz 200 mikro. Ia kemudiannya akan dicampur dengan makanan (sebagai suplemen).
Selain itu katanya lagi, makanan tambahan berasaskan rumpai laut berupaya meningkatkan lebih 1,000 kali ganda bakteria probiotik (Lactobacillus Paracasei Subspesies Paracasei) di dalam usus haiwan laut.
“Serbuk Sargassum juga bersifat bahan aktif. Diet dihasilkan dengan mencampurkan pelet komersil yang digiling dengan serbuk Sargassum pada kuantiti sesuai, boleh membawa kepada pemindahan bakteria oportunis dalam usus.
“Turut diperhatikan jumlah sel darah merah dan sel darah putih lebih tinggi di dalam ikan yang menggunakan makanan tambahan Sargassum. Kandungan karkas mineral (terutamanya Fe) juga meningkat dengan ketara terhadap ikan yang dikaji,” jelasnya.
Seperkara mengenai kelebihan teknologi itu berbanding produk sedia ada, Muhammad Farhan berkata, inovasi baharu itu disifatkan berupaya menggalakkan penghasilan antibiotik bebas residu bagi produk akuakultur selain merangsang dan menguatkan sistem imun pada ternakan spesies akuatik.
Dalam hal itu, pihaknya berusaha untuk menggalakkan pengurangan penggunaan ubat dan sisa kimia pada ternakan spesies akuatik demi meningkatkan survivaliti, efisiensi makanan dan prestasi pertumbuhan semasa penternakan seperti ikan dan udang.
“Bukan sahaja meningkatkan kandungan karkas protein berkualiti, zat besi dan lain-lain mineral, ia berpotensi meningkatkan potensi menjadi produk yang sihat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!