JPJ keluar lebih 1 juta saman

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 1,028,387 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya di seluruh negara bagi tempoh awal Januari sehingga Oktober lepas.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut nilai saman, Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Perancangan dan Operasi), Zamakhshari Hanipah berkata, saman dikeluarkan itu melibatkan kesalahan utama seperti melanggar lampu isyarat, melebihi had muatan, tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memakai topi keledar.

“Kesalahan lain ialah memotong di garisan berkembar, memotong di sebelah kiri, menggunakan lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Selain itu, sebanyak 275,554 saman (jumlah ini tidak termasuk saman di atas) bagi kesalahan tidak mempunyai lesen memandu telah dikeluarkan sepanjang tempoh itu,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi bersepadu JPJ Kuala Lumpur yang dijalankan di Jalan Bangsar, di sini, awal pagi tadi.

Beliau berkata, dalam operasi bersepadu itu, JPJ memeriksa lebih 2,500 kenderaan.

“Ekoran itu, sebanyak 812 saman dikeluarkan antaranya melibatkan cukai jalan tamat tempoh dan kesalahan memasang cermin gelap melebihi had yang ditetapkan.

“Selain itu, dalam operasi ini, 11 lelaki ditahan kerana dipercayai positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan,” katanya.

Pada masa sama, Jabatan Imigresen turut membuat pemeriksaan ke atas 19 warga asing dan menahan lima daripada mereka yang terdiri daripada seorang warga Bangladesh, Indonesia (2), India (1) dan seorang dari Sri Lanka kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Artikel Berkaitan:

Operasi bermula 8 malam itu melibatkan pegawai dan anggota JPJ, Jabatan Imigresen serta Agensi Antidadah Kebangsaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!