Nafas galak anak muda ceburi pertanian moden
SUNGAI BESAR - Golongan muda diminta supaya menceburi sektor pertanian moden bagi mengurangkan kebergantungan barangan import, selain mampu menjana pendapatan lumayan.
Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Senator Dr Yaakob Sapari berkata, ketika ini Malaysia terpaksa mengimport produk pertanian dan ternakan dari luar negara dengan nilai keseluruhan sebanyak RM52 bilion.
Menurutnya, produk seperti cili dan timun, misalnya boleh ditanam sendiri oleh anak muda seperti dilakukan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat.
“Saya dapati PPK Kuala Langat berjaya dengan tanaman cili fertigasi dan kalau boleh PPK Sungai Besar, Tanjong Karang dan Kuala Selangor terlibat sama dalam usaha ini untuk pertanian moden,” katanya pada sidang akhbar Program Kasih Peladang Selangor di Dewan Terbuka Parit 1, Jalan Parit 1, Sungai Besar di sini semalam.
Yaakob berkata, ketika ini sebanyak 80 peratus pesawah terdiri dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas.
“Justeru, kita hendak menarik anak muda terlibat dalam sektor ini dengan memodenkan teknik pertanian. Di sawah kalau boleh untuk meracun dan membaja kita gunakan kaedah dron," katanya.
Hadir sama, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Besar, Datuk Ramli Norani.
Mengulas mengenai program itu, Yaakob berkata, seramai 250 orang penerima asnaf peladang daripada lima PPK iaitu PPK Sungai Besar, PPK Tanjung Karang, PPK Kuala Selangor, PPK Pasir Panjang dan PPK Bernam Jaya menerima sumbangan wakalah zakat sebanyak RM200 setiap seorang dengan nilai peruntukan sebanyak RM50,000.
Pada majlis sama, Nafas turut menyampaikan sumbangan bia-siswa pendidikan, Dana Tabung Pengajian Tinggi Nafas kepada anak-anak ahli Peladang yang mendapat keputusan dalam peperiksaan 2019 iaitu GPA 3.5 dan ke atas bagi peringkat diploma dan ijazah dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang diiktiraf di Malaysia.
Sementara itu, seorang penerima sumbangan zakat perniagaan, Fatimah Zaini, 59, berterima kasih kepada Nafas yang sentiasa prihatin dengan golongan kurang bernasib baik.
“Dengan bantuan ini, dapatlah saya membeli barangan keperluan, apatah lagi suami sudah meninggal setahun lalu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!