Jual lesen vesel kepada nelayan asing

Mahkamah mengarahkan vesel klon ini dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.
Mahkamah mengarahkan vesel klon ini dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang pemilik vesel tempatan 'menjual' lesen vesel miliknya kepada nelayan asing semata-mata untuk mengaut keuntungan berganda mengundang padah selepas didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Tidak cukup dengan itu, tindakan Muhammad Hisyamuddin Ali@Abdul Razak, 31, yang membolehkan nelayan Vietnam tersebut menggunakan vesel klon bagi mempedaya pegawai penguatkuasa turut berdepan hukuman enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

Keputusan dibuat Hakim Azman Mustapha selepas dia mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(3)(b) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317).

Mengikut pertuduhan, dia selaku pemilik vesel bernombor pendaftaran PAF 4770 didapati menggunakan huruf, nombor dan cara pengenalan suatu vesel penangkapan ikan yang lain iaitu dengan nombor pendaftaran PAF 4770.

Dia didapati melakukan kesalahan itu perairan perikanan Malaysia pada jarak 43.4 batu nautika dari Kuala Terengganu, kira-kira jam 6 petang pada 1 Ogos tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Mohamad Afiq Taqiudin Roslan manakala dia diwakili peguambela Faizal Marzuki daripada Tetuan Faizal & Co.

Mahkamah juga mengarahkan vesel klon, peralatan komunikasi dan navigasi beserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan laut dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Berdasarkan fakta kes, sebuah vesel penangkapan ikan bernombor pendaftaran PAF 4770 ditahan di 43.4 batu nautika dari Kuala Terengganu, di sini.

Artikel Berkaitan:

Pemeriksaan ke atas vesel mendapati seramai enam orang warga Vietnam berada di atas vesel tersebut sebelum vesel ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Hasil semakan buku lesen no siri: Q 000055 mendapati Muhammad Hisyamuddin Ali @ Abdul Razak adalah pemilik vesel.

Hasil pemeriksaan seterusnya menemui hasil tangkapan di dalam petak-petak bot iaitu sotong kering anggaran 200 kilogram, juga ditemui minyak diesel anggaran 6,000 liter dan beberapa peralatan menangkap ikan.

Vesel juga disyaki bot nelayan asing kerana gambar vesel pada lesen juga didapati ditukar bagi tujuan memperdaya pegawai penguatkuasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!