Polis lupus 251kg dadah bernilai lebih RM700,000

Razarudin (dua dari kanan) bersama Ravi Chandran (dua dari kiri) melihat pelbagai dadah yang dirampas hasil kejayaan JSJN sepanjang tempoh 2000 hingga 2019.
Razarudin (dua dari kanan) bersama Ravi Chandran (dua dari kiri) melihat pelbagai dadah yang dirampas hasil kejayaan JSJN sepanjang tempoh 2000 hingga 2019.
A
A
A

IPOH - Polis Perak melupuskan 251 kilogram (kg) dadah dan 880 liter pelbagai jenis cecair disyaki dadah bernilai RM714,047 hasil rampasan daripada 3,096 kes bagi tempoh 2000 hingga 2019.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pelupusan itu membabitkan dadah jenis ganja, heroin, syabu, eramin 5, ekstasi dan ketamin selain cecair dan daun ketum, ubat batuk serta cecair bahan kimia.

"Sebanyak 15 daerah terbabit dengan pelupusan dadah ini antaranya Manjung melibatkan 764 kertas siasatan, Tapah (420), Taiping (312) dan Batu Gajah yang melibatkan 282 kertas siasatan.

"Pelupusan ini adalah melibatkan barang-barang kes yang telah selesai siasatan dan mendapat arahan mahkamah bagi melupuskannya," katanya kepada pemberita pada program Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua JSJN Perak, Asisten Komisioner R Ravi Chandran dan Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar.

Kesemua barang kes tersebut dilupuskan di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Kualiti Alam Sdn Bhd, Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

Razarudin berkata, bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu, JSJN Perak telah menahan 11,138 orang dengan rampasan pelbagai dadah seberat 97kg yang dianggarkan bernilai RM7 juta.

Artikel Berkaitan:

Pelbagai dadah seberat 251kg dilupuskan hari ini.
Pelbagai dadah seberat 251kg dilupuskan hari ini.

"Ia melibatkan pembanterasan bekalan dan permintaan selain tangkapan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

"Sepanjang perlaksanaan operasi seperti 'Ice Braker', 'Blue Devil', 'Wanted Narkotik' dan 'Damn Tokan 2.0', pelbagai jenis harta pengedar dadah berjaya disita dianggarkan bernilai RM5.6 juta membabitkan pelbagai kenderaan, rumah, wang tunai dan wang dalam akaun bank serta barang kemas," katanya.

Katanya, seramai 16 anggota polis ditahan selepas terbabit dalam pelbagai kesalahan dalam satu pemeriksaan ops 'Blue Devil' peringkat Kontinjen Perak.

"Seramai 431 pegawai dan anggota telah diperiksa dan enam anggota telah diambil tindakan mahkamah, manakala 10 anggota lain masih dalam siasatan polis.

"Operasi ini dilakukan bagi tujuan untuk membersihkan Jabatan Polis dari segala gejala najis dadah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!