Desak Timbalan Speaker DUN Melaka mohon maaf, letak jawatan

Akmal (tiga dari kanan) dan Hishamuddin (empat dari kanan) sebelum penyerahan memorandum bantahan di luar pekarangan bangunan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Akmal (tiga dari kanan) dan Hishamuddin (empat dari kanan) sebelum penyerahan memorandum bantahan di luar pekarangan bangunan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pemuda UMNO Melaka bersama-sama Pas negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) mendesak Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr Wong Fort Pin membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan tindakannya tidak membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang membaca petikan ayat al-Quran ketika sesi perbahasan Belanjawan Melaka 2020.

Desakan itu dibuat melalui memorandum bantahan terhadap Fort Pin yang telah diserahkan kepada pegawai khas Speaker DUN pagi tadi.

Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Akmal Saleh berkata, tindakan tidak membenarkan baca petikan ayat al-Quran ketika sesi perbahasan Belanjawan Melaka 2020 tidak seharusnya berlaku dan mendakwa ia menggambarkan kedangkalan Fort Pin dalam melaksanakan tugas sebagai Timbalan Speaker.

Pihaknya turut menggesa Fort Pin meletakkan jawatan kerana perbuatannya dianggap mencemarkan bukan sahaja kesucian Islam tetapi menjatuhkan imej DUN Melaka.

"Kami hadir pada pagi ini untuk bersemuka dengan beliau dan menuntut agar satu permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam Melaka dan negara.

"Kerajaan negeri juga digesa untuk mendidik dan mencalonkan dalam kalangan mereka yang berilmu serta berkelayakan bagi mengisi jawatan-jawatan yang penting di negeri ini," katanya ketika berkumpul di luar pekarangan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Dalam pada itu, timbul sedikit kekecohan apabila hanya beberapa individu dibenarkan masuk ke bangunan Seri Negeri bagi menyampaikan memorandum bantahan tersebut dan mereka kemudiannya dilihat turut mengangkat plakad tercatat 'Timbalan Speaker jangan biadab', 'Jangan sakiti umat Islam', di luar pekarangan bangunan pentadbiran kerajaan negeri itu.

Turut hadir, ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan; ADUN Asahan, Datuk Seri Ghafaar Atan; ADUN Sungai Rambai, Datuk Ghazale Muhamad; ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Artikel Berkaitan:

Kekecohan berlaku di luar bangunan pentadbiran kerajaan Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Kekecohan berlaku di luar bangunan pentadbiran kerajaan Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Akmal berkata, Ketua Menteri, Adly Zahari turut dituntut supaya memastikan tiada lagi perkara seumpama itu berlaku terutama melibatkan penghinaan ke atas agama Islam pada masa akan datang.

"Kami yakin dan percaya dengan ilmu serta keperibadian Islam yang tinggi, Ketua Menteri mampu menjalankan tugas memartabatkan Islam dan menghalang cubaan penghinaan ke atas agama ALLAH daripada terus berulang," katanya.

Pengerusi Pembela Ummah Melaka, Hishamuddin Abu Bakar pula berkata, umat Islam terguris dengan tindakan Timbalan Speaker dan sekiranya tidak disengajakan, permohonan maaf secara terbuka perlu dilakukan.

Kelmarin, media tempatan melaporkan sesi perbahasan Belanjawan Melaka 2020 kecoh seketika berhubung isu bacaan petikan ayat al-Quran.

Suasana ‘panas’ berlaku selepas Timbalan Speaker, Datuk Dr Wong Fort Pin tidak membenarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) menghabiskan ucapannya.

Pada penutup ucapannya, Idris berhasrat untuk memetik ayat dari surah Yunus ayat 14, namun tidak dibenarkan Fort Pin kerana masa 10 minit yang diberikan kepada bekas Ketua Menteri Melaka itu tamat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!