Polis Marin rampas 12 bubu naga

Bubu naga yang dipasang secara haram ditemui di perairan Laut Sekinchan dalam Op Pensura, semalam.
Bubu naga yang dipasang secara haram ditemui di perairan Laut Sekinchan dalam Op Pensura, semalam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Sebanyak 12 bubu naga dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) di sekitar perairan Laut Sekinchan jam 5.20 petang, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, kesemua peralatan tersebut dipasang di beberapa lokasi berbeza di kawasan itu.

Menurut Khairuddin, pihaknya ketika itu dalam rondaan Op Pensura diketuai oleh Sarjan V Krishnan menemui tiga pancang buluh terapung yang berlampu.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati di bawah penanda terdapat pukat bubu naga. Pemantauan dan pemerhatian dilakukan hampir dua jam di kawasan tersebut namun pemilik bubu didapati tidak hadir ke lokasi dalam tempoh berkenaan.

“Seterusnya Polis Marin merampas 12 pasang pukat bubu naga tersebut yang tidak pernah mendapat kebenaran dan kelulusan dari Pengarah Perikanan Negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Khairuddin berkata, nilai rampasan adalah bernilai sekitar RM1,200 dan bubu naga itu dibawa balik ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang, Selangor untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat di bawah Sek 49 (1) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan peralatan tiada kebenaran dan kelulusan dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!