Yazid Sufaat dipakaikan alat EMD
KUALA LUMPUR - Polis menggunakan peranti pemantauan elektronik (EMD) bagi memantau pergerakan anggota militan warga Malaysia, Yazid Sufaat yang sudah dibebaskan dari penjara selepas tempoh tahanannya tamat.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi mengesahkan yang Yazid dipakaikan alat itu untuk tujuan pengawasan.
"Kita (PDRM) akan terus memantau dan berinteraksi dengannya (Yazid).
"Dia juga perlu mendapat kebenaran polis sekiranya ingin keluar dari kawasan Ampang," katanya merujuk kepada tempat tinggal Yazid.
Yazid, 55, yang mempunyai kaitan langsung dengan serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor, selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA).
Sistem EMD, antara lain membolehkan polis dimaklumkan sekiranya individu yang dipakaikan alat itu cuba melarikan diri atau melakukan sesuatu kepada alat berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!